The company of a good friend is like an owner of musk; if you don’t buy anything, you will get the smell of it. The company of a bad friend is like the blacksmith’s bellows; if you are not affected by its black dirt, you will be touched by its smoke.

Showing posts with label SINGKAPAN MEMORI. Show all posts
Showing posts with label SINGKAPAN MEMORI. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

SELAMAT HARI GURU...

Sunday, May 15, 2011
Bookmark and Share
Salam.. Menjelang 16 Mei, hari keramat bagi insan bernama cikgu. Hari Guru yang mulai diperkenalkan sejak 1972, berkebetulan itulah tahun aku memasuki darjah 1 tentunya menjadi tarikh yang sangat penting kepadaku yang telah melewati dua dekad bergelar cikgu. Selama ini aku tidak melihat sebegitu istimewa tanggal 16 Mei. Ada aktiviti, aku ikut. Kena baca ikrar, aku turut. Begitulah lazimnya.

Namun, setelah dunia facebook menjadi "kegilaan" menjadikan aku rasa terharu apabila mantan anak-anak muridku muncul di ruang FB sambil mengucapkan "Selamat Hari Guru" buatku. Justeru, dalam detik waktu sebegini, tentunya bertambah manis kalau diingat kembali zaman persekolahanku di sekolah rendah yang telah kulalui.

Teringat wajah-wajah beberapa orang guru di SK Tok Khalifah, parit 13, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor. Begitu panjang sekali alamatnya. Itupun tak termasuk poskod yang tak ingat. Itu menandakan begitu ceruknya sekolahku itu. Cikgu Abdul Aziz dan cikgu Karim (Darjah 1), Cikgu Zubaidah, Cikgu Tahiron Dimyati (Darjah 6), Cikgu Mahfuz, Cikgu Shaari dan Uztaz Abdul Wahid. Itulah yang masih terlekat dalam memori yang semakin berkarat ni. Sebenarnya ramai lagi yang mengajar aku, tapi mintak ampun aku tak dapat mengingatinya satu persatu. Mungkin disebabkan igatanku yang kian susut atau mungkin kehadiran mereka tidak begitu terkesan dalam hatiku. Entahlah...

Dalam senarai pendek itu, ada yang aku ingati kerana kebaikannya. Umpamanya Cikgu Aziz dan Karim selalu bagi aku duit. Entahlah mungkin rasa simpati terhadapku yang jarang ada duit saku ke sekolah. Mungkin kerana aku selalu dapat nombor satu dalam kelas. Atau, mungkin kedua-duanya.

Cikgu Shaari, cikgu yang paling aku takuti. Pernah aku kena pukul kat punggung sewaktu masuk kelas. Aku terpinga-pinga apabila beliau meminta aku menghadap papan hijau serta menonggengkan punggungku. Bila dah kena baru beliau bagi tau yang aku tidak berdiri tegak semasa menyanyikan lagu negaraku. Rupa-rupanya dia mengintai kami dari celah-celah cermin nako sewaktu perhimpunan. Bukan aku sorang yang kena, ada lagi dua tiga orang lagi kawanku yang menerima nasib yang sama.

Cikgu Zubaidah, sangat bersifat keibuan. Sungguh-sungguh bertanya kepadaku sewaktu di penghujung darjah 6 berkaitan dengan persekolahanku di tingkatan 1. Beliau tidak begitu bersetuju aku memilih sekolah agama. Alasannya, kat sekolah agama tak ada mata pelajaran pendidikan seni. Beliau tahu aku memang meminati mata pelajaran tersebut. Tapi akhirnya beliau menerima keputusan yang telah dibuat oleh bapak dan emakku.

Cikgu Tahiron, aku ingati kerana beliau sangat marah kerana aku memilih aliran agama di tingkatan 1. Aku bersama seorang lagi terpaksa berdiri di atas kerusi kerana sebab yang sama. Katanya, sekolah agama akhirnya akan jadi siak kubur. Masa tu, aku tak mampu nak jawab apa-apa. Masa depanku pun aku tak nampak lagi. Cuma apa yang penting aku perlu mematuhi keputusan bapak dan emakku.

Kini aku telah dua dekad bergelar cikgu. Kerjaya yang sama dengan cikgu-cikguku itu. Secara sedar aku berusaha untuk menjadikan diriku seperti cikgu-cikgu yang aku suka dan sayangi. Tetapi sesekali mungkin aku tersilap dalam membuat perhitungan sehingga mengambil tindakan seperti cikgu yag aku takuti itu. Namun di sebalik itu semua, aku telah lama memahami serta mempelajari bahawa apa juga tindakan cikgu-cikguku itu niatnya ikhlas agar aku menjadi manusia yang berguna pada suatu hari nanti manakal marahnya kerana dia tidak mahu aku jadi insan yang tidak beguna. Mungkin juga mereka menyedari kebolehanku jika aku berada di aliran yang sama dengan rakan-rakanku yang lain.

Untuk kesekian kalinya, terima kasih cikgu... jasamu pasti akan kuingati selamanya. Bila ada kesempatan yang sesuai, pasti aku akan terus mencarimu. Walaupun akhirnya aku hanya menemuimu pada tinta nama di atas pusaramu wahai cikguku..
BACA LAGI...

Saturday, December 26, 2009

SMK KUALA PENYU: KENANGAN MENYENTUH JIWA

Saturday, December 26, 2009
Bookmark and Share
Saat dan tika begini, masih tercatuk di meja tulis sambil melayan kerja-kerja yang dipikul sejak dua minggu yang lalu... tetiba ffikiranku melayang ke bumi Kuala Penyu, Sabah. Di situlah aku dipostingkan sejurus tamat KPLI. Suatu perbumian asing yang kalau tidak dipaksa pergi semacam itu, sememangnya aku tak akan sampai. Maklumlah menyeberangi lautan serta meninggalkan keluarga (emak, bapak dan adik-adik ler...) untuk suatu tempoh yang agak panjang.

Lalu, aku terus melayan ingatan ku itu dengan meminta Lebai Google mencari apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Kuala Penyu. Sedikit hampa laman web sekolah masih yang dulu jugak, tetapi ada satu laman yang baru dengan extention ".net"... hatiku melonjak gembira.. tetapi rupanya site tu masih dalam pembinaan.

Kebanyakan URL yang Lebai Google bagi, aku dah selongkar... mencari-cari kalau-kalau ada foto yang mampu mengubati kerinduan pada SMK Kuala Penyu aka SMK Kayul. Sedang keluar masuk URL, tetiba aku mendapat sebuah imej flat guru SMK Kayul yang duduk di situ selama kirta-kira tiga tahun.

Aduss syahdunya... sebelah kanan Flat A dan kiri B. Masa tu flat A untuk majoritinya geng bujang dan sebelah kiri tu, untuk berkelamin. Namun, ada satu keluarga yang duduk kat blok A sebab mungkin tak cukup tempat di blok B. Cikgu Masni yang duduk di tingkat satu kami anggap macam penghulu kat blok A. Aras dua geng anak dara (sumandak) iaitu Donna dan Felecia, aras tiga geng aku lah... sebelum aku tinggalkan flat tu untuk menyewa di Pekan Kuala Penyu (selepas aku kahwin), yang menetap kat situ ialah Muhammad bin Abd Mutalib, Jailani Jaya dan aku. Atas sekali tak tetap... kebanyakannya yang pernah duduk kat situ adalah geng guru GSTT.

Itu semua unit-unit rumah sebelah kanan. Manakala yang sebelah kiri aku tak pasti sangat. Maklumlah dah lama sangat... Cuma yang satu aras dengan rumah yang aku duduk, geng Sabahan. Kipli Gitam, Fazlee Abdullah dan Ag.Besar Suran. Dua rumah ini asal ada orang jer.. seberang menyeberang jer...

Ahhhh... Itu memori 1993. Selepas itu aku tinggal di Kg.Periuk-Periuk, Pekan Kuala Penyu sehingga Me1 1995. Sempat ada anak seorang sebelum balik ke Semenanjung dan bertugas di mana aku bertugas sekarang. Namun foto tersebut memang menyentuh hati betul sebab... tiada perubahan apa-apa pada fizikal banguna tersebut... Mungkin foto itu diambil tidak begitu lewat dari tarikh aku meninggalkan bumi Kayul.

Apabila musim sukan sekolah... pada bahagian hujung padang yang ada garaj itulah kami membuat rumah sukan masing-masing. Oleh sebab takut kena sabotaj, aku pernah tidur di pondok sukan tersebut. Hehehe... antara bahan yang paling mudah hilang ialah buluh... sebab nak cari buluh agak susah. Tapi yang agak mudah cari ialah pokok rumbia.

Kuala Penyu: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat mencari rezeki... Semoga kita bertemu kembali...

BACA LAGI...

Friday, October 30, 2009

BLOG TELAH MENEMUKAN KEMBALI RAKANKU YANG TERPUTUS HUBUNGAN SEJAK SEKIAN LAMA

Friday, October 30, 2009
Bookmark and Share
Hari ini adalah antara hari yang sangat indah dalam hidupku. Bukan sebab kenaikan pangkat atau naik gaji! Takkan lah hanya pangkat dan gaji sahaja yang mampu menggembirakan kita!
Rasanya semakin berbaloi aku menghadap pc setiap hari untuk mencatat pengalaman atau cerita lalu. Untung nasib kalau-kalau tulisan itu mendapat perhatian seseorang yang ada hubungan dengan hayat kita. Pertama, terlebih dahulu aku ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada admin, Pra Sekolah SK Taman Semarak yang berusaha menjejak seorang rakanku semasa di MPKTBR yang secara kebetulannya adalah anak murid kawanku itu semasa di Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur. Melalui beliau akhirnya pada pukul 8.44 pagi tadi, rakanku itu menelefonku. Aku berbual dengan beliau sekitar 11'32".
Wah banyak betul perkembangan yang berlaku. Aku ingat keluargaku dah besar, rupanya dia lagi besar. Empat orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan. Itupun isterinya baru-baru ini mengalami keguguran, kalau tidak sembilan! Tahniah. Antara-antara banyak perkara yang kami bualkan, ada cadangan nak buat reunoin bekas pelatih KPLI MPKTBR. Itu idea yang sangat bagus. Aku offer gak kalau nak jadikan blog aku sebagai port untuk reunion. Tapi kalau nak buat blog lain pun tak ada hal...
Sekitar 9.24 pagi, aku menerima pula panggilan dari rakan lama di SMK Kuala Penyu, Sabah. Kini tidak lagi menjadi cikgu. Bakatnya yang hebat berpidato mejadikan aset kepadanya untuk menceburi bidang politik sepenuh masa. Kini beliau bertugas di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kota Kinabalu. Bergiat dalam politik di bahagian Beufort. Aku tak pasti apa jawatan beliau dalam UMNO, Sabah. Tetapi aku rasa ia berkaitan dengan pemuda UMNO lah.
Aku tak berminat bercakap tentang karier politiknya. Cuma apa yang lebih penting ialah bagaimana kami boleh berhubung kembali melalui blog. Aku sememangnya suka mencari apa-apa juga maklumat berkaitan dengan Kuala Penyu, Sabah. Tanpa disangka aku menemui seorang blogger di Kuala Penyu. Namanya ialah saudara Muzafar. Beliau sangat kenal dengan rakanku itu, lalu beliau meminta aku menghubunginya terlebih dahulu sebelum beliau memberikan nombor telefon rakanku itu.
Aku rasa melalui blog, lama-kelamaan akan bertambah lagi lah rakan-rakan lama yang aku dapat hubungi semula. Terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang turut membantu...
BACA LAGI...

Saturday, October 24, 2009

AHA... ADA TETAMU TIDAK DIDUGA!

Saturday, October 24, 2009
Bookmark and Share
Petang tadi, hujan turun mencurah-curah. Jalan di hadapan rumah dipenuhi air yang mengalir laju menuju hujung jalan yang lebih rendah. Sedikit rasa sebal apabila penyangkut pagar buatan sendiri itu tidak mahu menyangkut pada jeriji longkang, menyebabkan air hujan mengenai sedikit bahagian kepalaku. Aku terpaksa menyinsing seluar separas betis untuk memastikan penyangkut itu betul-betul masuk di celah-celah jeriji longkang itu. Aku janji untuk mengambil anakku di Bitara Siswa, UPSI sekitar jam 6.00 petang walaupun pertandingan catur tu tamat pada jam 5.30 petang.
Tiba-tiba telefon bimbitku berdering-dering. Nombor yang terpapar pada skrin tidak pula menyatakan siapa yang memanggil.. Rupa-rupanya panggilan daripada seorang kawan setaman. Bersama-samanya ada seorang kawan lama masa kat Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit. Namanya Sabihah tapi kawan-kawan panggil dia diq. Jadi, aku pun berhenti kat tepi jalan menunggu kereta di belakangku menghampiri keretaku.
"Ya Allah.. Hang ka Diq!" Aku menepuk dahi. Terkejut kerana tidak menyangka dalam hujan lebat itu aku bertemu dengan kawan lama yang telah putus hubungan sejak 19 tahun! Aku nampak dia hanya ketawa, sebab hujan yang semakin lebat itu tidak memungkinkan kami membuka tingkap kereta dengan luas. Nanti banjir pulak dalam kereta!
Aku mengekori kereta kawanku itu sambil mengharap ia akan membelok ke rumahnya. Rupa-rupanya tidak. Lalu aku menelefonnya.
"Ngko nak kemana... ingatkan belok ke rumah?"
"Aku nak ke Diamond Creek, jemputlah ke rumah aku malam ni kat situ.." Baru aku tahu dia ada sebuah rumah lagi kat Diamond Creek. Setahu aku masuk yang ini dia ada tiga buah rumah. Satu di Kg.Jana, Taiping dan satu lagi di Taman Bernam Baru.
"Insya Allah, aku tak janji.. tengok keadaan.." Jawabku. Dalam kepala memang ada banyak perkara nak buat malam ni...
Sekitar jam 8.15 malam, kawan setamanku itu menelefon aku balik. Rupa-rupanya dia dah ada kat depan rumah! Apa lagi, kelam kabutlah aku dengan anak-anak memunggah baju-baju dalam bakul atas sofa... Hehe.. maklumlah tak ada maid. Chis... alasan!
Katanya nak jumpa kejap jer.. kalau ikutkan dia, jumpa kat serambi rumah jer.. Mana patut, aku paksa kawan setamanku itu, diq dan sorang kawannya masuk. Daptlah bersembang-sembang sikit. Katanya, dia membawa anak muridnya dari SERATAS ke program WARGA di UPSI. Janji dengan anak-anak muridnya 8.30 malam nak jumpa.
Sejurus kawan ku itu balik, aku mencari-cari album lama. Ada beberapa keping foto lama yang memaparkan wajah diq dan kawan-kawan, cuma aku scan foto yang ini sebab ada ramai lagi kawan-kawan lain bersama-sama. Aku lupa foto itu diambil selepas acara apa... Nampak macam formal sikit. Aku pun pakai baju melayu nampaknya... Cuba mengingat kembali nama-nama yanga ada di situ.. Rasanya betul.. tapi tak tahulah kalau ada yang silap...
Tahniah diq, dah jadi GC DG48! Tuah manusia siap yang tahu.. Kat SERATAS ada sorang lagi kawan se maktab dulu. Namanya, Asma Azmn Rashid bin Mohamad Nawawi (betul kot). Kini menjawat PK Kokurikulum... Tahniah juga...
BACA LAGI...

Sunday, July 12, 2009

CERITERA DUKA NATRAH...

Sunday, July 12, 2009
Bookmark and Share
Kali pertama aku mendengar nama Natrah atau Maria Herthog ni, kalau tidak silap semasa aku di tahun dua di UM. Aku ada ambil kertas Prof. Datuk Muhammad Abu Bakar. Tahu juga serba sedikit tentang rusuhan orang-orang Melayu di Singapura pada tahun 1950.
Selepas habis belajar cerita itu terus pendam daripada ingatanku.. Tiba-tiba meletus balik bila cerita Aishah Bukhari muncul pada lewat 1990an. Tema yang lebih kurang sama iaitu dua orang gadis Islam yang kemudiannya menganut agama Kristian. Walau bagaimanapun jika diteliti secara sedikit mendalam, ternyata berbeza. Persis bumi degan langit. Jika Aishah dengan sukarela memrtadkan dirinya dengan mengikut teman lelakinya yang beragama Kristian Katolik, Natrah terpaksa dipisahkan dengan agama Islam dan sekali gus suaminya melalui keputusan mahkamah.
Cerita pilu ini mengetuk gegendang telingaku sekali lagi sewaktu aku dalam perjalanan ke sekolah pada hari khamis lalu. Aku sedikit lupa dengan riwayat Maria Herthog ini, lantaran ia pendam buat sekian lama. Namun, bila aku baca akhbar hari ini, tulisan Hazizah Che Sab (Berita Minggu 12 Julai 2009) ternyata ada ceritera pilu yang tak pernah aku baca sebelum ini. Walhal ceritera-ceritera itu telah dimuat dalam Dewan Masyarakat lewat 1980-an lagi.
Cuma apa yang aku ingin nyatakan di sini, ialah tentang kejamnya undang-undang dunia memisahkan perasaan cinta dua insan yang akhirnya perasaan itu dipendam sehingga akhir hayatnya. Tetapi jauh di sudut hatiku, tertanya-tanya bagaimaakah perasaan bekas suaminya, Mansur Adabi? Apa yang tercatat dalam tulisan itu hanyalah kebahagiaannya selepas berkeluarga baru...
BACA LAGI...

Monday, May 25, 2009

TERIMA KASIH MURIDKU...

Monday, May 25, 2009
Bookmark and Share
Sajak di sebelah ini aku terima pada hari terakhir aku menjalani praktikum di SMK Bukit Guntung, sekitar bulan Julai 1990. Penulisnya Fazilah Ismail pada saat itu berusia sekitar 17 tahun. Aku tak pasti mana satu orangnya kerana aku sendiri pun tidak cuba mencari nama pelajar tersebut.
Tapi bagi aku, bukan itu yang lebih penting tentang sajak tersebut. Tetapi isi kandungannya... Apabila kita bertugas di sekolah-sekolah yang berada di pedalaman atau di pinggir bandar kewujudan serta kehadiran seorang guru itu cukup dirasai. Walaupun SMKBG terletak tidaklah jauh dari bandar Kuala Terengganu tetapi status sosial penduduknya yang rata-ratanya golongan petani, menjadikan apa juga yang dicurahkan kepada mereka sangat bermakna. Malah mereka tahu melahirkannya dalam pelbagai bentuk. Umpamanya ucapan terima kasih, mengikut apa yang diarahkan malah tidak kurang juga yang cuba mengingati tarikh-tarikh penting seseorang guru itu.
Terima kasih Fazilah Ismail... semoga di dalam rahmat Ilahi hendaknya pada saat ini. Mungkin disisi keluarga tercinta.
BACA LAGI...

S MK BUKIT GUNTONG, KUALA TERENGGANU

Bookmark and Share
Aku masih lagi 'dibuai' (seperti kata seorang komentar, Duan & Duan dalam "Oh Kuala Penyu") memori silam tentang beberapa buah institusi pendidikan (sekolahlah!) yang pernah memberikan ruang dan peluang untuk menghuninya walaupun untuk ketika. Kali ini aku ingin melayangkan memori itu ke sebuah sekolah yang memberi ruang kepada aku untuk menjalani sesi praktikum selama 11 minggu (kalau tak silap lah... almaklumlah dah dekat 20 tahun berlalu). Sekolah tersebut ialah SMK Bukit Guntong, Kuala Terengganu. Aku pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI @ kapal selam) di Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit (MPKTBR).
Menariknya sekolah ni... cikgu-cikgunya dan murid-muridnya sangat baik hati. Aku tak ingat ada beberapa kali kena jemput kenduri kat rumah cikgu-cikgu tu... Musim buah... tak payah beli ... bila petang je ada lah yang datang ke rumah sewa (terletak kat seberang jalan sekolah...) bawak macam-macam buah.
Masa praktikum aku dengan dua orang kawan lagi duduk serumah. Sahak Zainal Abdeen (Melakau) dan Rashidi Abd Wahab (Perak- Alfatihah... dah kembali ke Rahmatullah masa pilihan raya awal 1999 agaknya.... kemalangan jalan raya). Tonggang tebalik kami selama 11 minggu tu membuat persediaan mengajar dan aktiviti kokurikulum. Bercakap pasal praktikum ni... aku tak akan lupa dengan peristiwa aku kena selia oleh En.Hamzah Ali (Sains Sukan). Ini lah yang pelik... Aku opsyen Bahasa Melayu tapi yang selia pensyarah Sains Sukan. Bila tanya kat En. Hamzah... Dia akan selia gak mata pelajaran PJK... Kebetulan pulak selain B.Melayu, Sastera Melayu aku kena bagi mata pelajaran PJK. Aduh... fening lalat aku... tak pernah belajar kaedah pengajaran PJK pulak tu... Tapi.. dia acah ajer... sampai habis tak selia ponn... Alhamdulillah.
Aku nak ucapkan terima aksih banyak-banyak kat En.Hamzah Ali tu... kalau tak budibicaranya dah pasti aku kantoi praktikum... Ceritanya... Aku dah perpare nak guna video tape (mana ada CD masa tu..) aku salin kat Pusat Sumber Pendidikan Terengganu (PSPN)... jadi confident lah okey... lagi pun mana ada VCR kat rumah sewa na test running.... maka pada hari yang dijanjikan pun dia datang..... Alamak... berpeluh-peluh aku! Sebab tak ada apa-apa yang keluar kat skrin televisyen melainkan berjuta-juta "semut".... En.Hamzah panggil aku... Aku punya mintak maaf lah.. tak ingat berapa kali.... Dia kata.. Dah jangan nak buat apa-apa lagi cari lah bahan apa-apa kat bilik guru guna dalam P&P... Aku berambat lah lari ke bilik guru... tulah yang puji cikgu-cikgu SMKBG ni.. depa carikan aku pamflet (aku tak ingat tentang apa..) dan aku bawak ke kelas lah.... Alhamdulillah.. selesai En.Hamzah kata... "Saya tak boleh bagi cemerlang lah sebab kat buku rekod tulis lain... mengajar lain...." Tak apalah jangan kena repeat praktikum sudahlah...
Buat bekas anak-anak muridku.. mungkin ramai yang telah berjaya dalam karier masing-masing... Teruskan usaha anda walaupun dalam medan yang berlainan... Terima kasih atas segalanya...
BACA LAGI...

MP BATU RAKIT, KUALA TERENGGANU

Bookmark and Share
Setelah aku berkelana menjadi pendidik selama lebih kurang 18 tahun ini (Hehe.. baru dua sekolah je..) akhirnya pada bulan Jun 2007 akhirnya aku kembali ke MP Kuala Terengganu (Kini IPG Kuala Terengganu). Aku tak rancang sangat pun nak ke sini... lebih kurang dua hari sebelum bertolak baru terfikir nak bawa famili berjalan-jalan ke pantai timur. Kelantan dan terengganu lah..
Jadi dalam perjalanan ke Kelantan, aku sempat ke IPGKT.. dah petang pun... lebih kurang pukul 4 petang. Aci masuk je.. nasib baik jaga tak tahan.. lagak macam staf kat situ je.. angkat tangan dan terus masuk...
Sempat gak ambik gambar blok asrama yg aku duduk lebih kurang setahun semasa ambik Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pengkhususan Bahasa Melayu. Tapi tak pensyarah-pensyarah yang ajar aku dah tak ada.. mungkin dah tukar atau dah pencen.. almaklumlah masa tu pun umur mereka pun sekitar lewat 40 an.
Terima kasih IPG Kuala Terengganu kerana memberi ruang untuk kubelajar di sini...
BACA LAGI...

NOSTALGIA 2004

Bookmark and Share
Sewaktu rasa bosan yang amat sangat ("Bosan giler") bertandang ...sedangkan aku masih bergelut dengan tugasan yang masih tak sudah-sudah, satu sapaan YM terpapar pada screen laptopku...
Sapaanya itu langsung mengimbau kenangan kira-kira 4 tahun lalu sewaktu anak-anak muridku itu berada di Tingkatan 6 Atas. Begitu pantas masa berlari, sepantas itulah rupanya usiaku silih berganti (semakin tua lah tu..) ... A, anak muridku (kalau tak silap Penolong Ketua Kelas masa tu) itu baru sahaja menamatkan pengajiannya di salah sebuah U di utara tanah air. Dia masih melamar-lamar pekerjaan yang tetap walaupun telah bekerja secara sementara di syarikat milik keluarganya.
Lalu aku selongkar kembali album 2004, dan akhirnya aku jumpa gak.. gambar kelas 6AKM dan aku paste di sini. Apa yang menggembirakan hati seorang cikgu ialah kebanyakan mereka dah pun grad... ada sesetangahnya pulak dah register untuk further study. MA atau M.Ed. Syabas!
Harap-harap jangan lupa nawaitu menuntut ilmu itu ya.. dan jangan lupa ikut resmi padi... Dan, jangan ikut resmi ayam. "Bertelur sebiji riuhnya sekampung."
BACA LAGI...

SAHABAT SENANG DAN SUSAH...

Bookmark and Share
Dalam sibuk-sibuk memaparkan suatu yang pincang dan tempang tentang persekitaran di bumi TM ini... mindaku melayang kembali kira-kira 20 tahun dulu sewaktu aku menuntut di IPTA di Lembah Pantai...
Selama tiga tahun itu aku dah bertekad tak akan tinggal di asrama. Cukuplah seminggu semasa orientasi menepek di Astar. Selepas minggu orientasi tamat, aku pun terkedek-kedeklah mencari rumah sewa. Dapatlah ruang yang secuplik (pinjam istilah Faizal Tehrani) .. berkongsi empat orang se bilik. Sewa bilik lah tu di Seksyen 17. Kat situ pun lebih kurang lima enam bulan gak... Ditakdirkan Allah S.W.T aku bertemu dengan Zaini (nama sebenar) dia offer aku duduk kat Flat PKNS, Kg.Kerinchi. Kecik tapak tangan padang Varsiti aku tadahkan lah....
Dari ketika itu sampailah aku grad aku terus menetap di Kg.Kerinchi. Oleh sebab aku dan Zaini ni memang dari keluarga yang susah... life kami simpe je.. Pergi kuliah kebiasaannya jalan kaki... (Kalau ada duit lebih baru naik bas Sri Jaya 328 atau 49! Turun kat INTAN PJ) masak sendiri (Kecuali tak sempat balik...) Bab pinjam-pinjam duit ni jarang-jarang berlaku... Sebab, dah duit pun tak berapa ada... Belanja sikit-sikt ada lah... Kami memang rapat... Pernah kami saling kunjung-mengunjung ke kampung masing-masing. Aku pernah sekali ke LY di Seberang Perai, dan dia ke Peket 100, Sg.Besar ke rumah embah aku. Kebetulan masa tu paman aku kahwin. Punya lah dia pelik kenduri kat kampung orang Jawa ni asyik-asyik makan! Tak lama kemudian aku ke rumahnya. Kebetulan ada orang kenduri... Aku pun pelik gak! Hidang satu pinggan je... kat situ kuih-muih diletakkan.... Kalau kat kampung aku satu talam beb! lima enam pinggan kuih, setiap satu lain-lain jenis... Hehe..
Selepas grad, kami terputus hubungan. Sayup-sayup aku dengar dia di IPSI buat KPLI dan aku di MPKTBR. Lepas tu sayup-sayup dia ke Bumi Kenyalang dan aku ke Bumi Di Bawah Bayu... Tak dapat berhubung... Lagi-lagi pulak rumah embah aku dah dirobohkan dan berpindah ke Sg.Nibung, Sekinchan. Mungkin kalau dia ada hantar surat pun tak sampai kat aku... Alamat rumah dia pulak aku tak dapat nak cari....
Dipendekkan cerita, masa 2006 aku berkursus di The Summit, Bukit Mertajam. Aku bertekad untuk mencari rumah Zaini. Kebetulan pulak kawan sekursus agak biasa di area tu... Petang kedua aku melilau-lilau mencari rumahnya... Alhamdulillah selepas berbelas-belas kali bertanya, aku sampai ke rumah bapanya. Nampak saja bapaknya.. aku pasti itu lah rumanya. Iras-ras bapaknya itu masih aku ingat. Selapas dapat nombor telefon, aku hubungi Zaini.
Alangkah terkejutnya dia aku yang call. Dia masa tu ada kelas... Sesi petang. Malam tu dia jumpa aku kat Summit... Puyalah hiba rasanya... Malam itu aku mintak izin kat room mate nak tidur di rumah Zaini... Zaini bersungguh-sungguh mengajak ke rumahnya. Malangnya datang waktu malam.. tak sempat sembang lama... (Tapi aku sempat ambik gambar dengan dia..) Esoknya pagi-pagi Zaini terpaksa hantar aku balik ke Summit.
Awal tahun ni aku berpeluang lagi berjumpa Zaini, semasa Kursus PTK.. Malangnya jadual kursus yang padat serta suasana kursus yang macam nak gi perang tu.... menyebabkan aku kehilangan idea nak gi ke mana-mana pun!
BACA LAGI...

KUALA PENYU DALAM INGATAN...

Bookmark and Share
Aku tak tahu mengapa posting terdahulu tentang Kuala Penyu hilang... Mungkin sewaktu aku mengedit labels hari itu tidak perasan content posting itu terdelete. Sebenarnya aku dah perasan tentang perkara tu sewaktu aku berhempas pulas menyudahkan tugasan aku seminggu lalu... Aku pejamkan mata untuk menulis kembali coretanku tentang kuala Penyu, Sabah.
Hari ini aku gagahkan diriku untuk menulis kembali tentang memori silamku di Kuala Penyu apabila aku terbaca mesej kawanku Ag.Besar Suran (Kini Pengetua di sekolah menengah di Pitas). Justeru aku pastekan di sini foto yang kami ambil pada tahun 1991 atau 1992 (aku tak pasti...) Foto ini diambil semasa kami pergi ke Pulau Tiga, sebuah kawasan pelancongan yang sangat terkenal di Sabah. Dari kiri; Muhammad bin Abdul Mutalib (Kelantan, kali terakhir kami berjumpa 1995 sebelum kami balik ke semenanjung), aku, Awang Besar Suran (Berkaca mata hitam) dan Jailani Jaya (Orang Miri).
Sebenarnya banyak lagi foto yang mahu dipastekan di sini tetapi aku tahu blog ini kan ada limitnya.... Nantilah aku pilih-pilih yang terbaik sentimental valuenya.
Tentang Ag.Besar seperti yang aku ceritakan dalam posting yang ghaib itu... Seorang kawan yang sangat sporting. Pada hari raya tahun 1991 (Itulah kali pertama aku tidak beraya Aidil Fitri dengan keluargaku... isk...isk...) dia sanggup beraya dengan kami guru-guru semenanjung yang beraya di flat guru. Aku dengan Muhammad terpaksa memilih untuk tidak balik kampung kerana 'rugi' balik sekejap... Lebih baik balik akhir tahun masa panjang bersama keluarga. Di tepi flat guru itu ada beberapa batang pokok piasau (kelapa.. ikut dialek Brunei). Maka Ag.Besar panjat pokok piasau tu dah buatlah ketupat... Keesokan hari rayanya beraya di Kg.Jangkit... Kami neraya sakan sampailah di rumah Ag.Besar itu ... Aduh manisnya kenangan itu... Walaupun sedih tidak beraya dengan sanak saudara... Sekurang-kurangnya kesedihan itu terisi juga dengan aktiviti beraya di Kuala Penyu.
Sepanjang empat tahun aku bermustautin di Sabah, terutama tiga tahun yang pertama (masih bujang) aku selalu gak ikut geng-geng pengakap ke Pulau Tiga. Pulaunya indah, tenang dan nyaman sekali. Posting akan datag aku akan ceritakan pulak tentang pengalaman naik Gunung Kinabalu, Insya Allah.
Aku berasa teringin sekali ke Kuala Penyu. Mudaha-mudahan suatu hari nanti... aku akan dapat menjejakkan kembali jangkahan kakiku di perbumian Kuala Penyu bersama isteri dan anak-anakku...
Dedikasi juga untuk;
Kipli Gitam, Fazlee Abdullah, Fatmah Mohd Yasin (Isteri Ag.Besar), Kak Site Tabiah Yunus, Dona Undoh, Felecia E.Jainol, Goh Kui Liang, Hj.Samin Ongki, Cg. Stepehen Kok, Cg.Jendeh Musran, Cg.Masni Muin, Cg.Tan Peng Ann, Cg.Selina Chew dan lain-lain lagi yang tak tertulis di sini. Selamat maju jaya... Sesiapa yang ada membaca catatan ini dan mengetahui di mana Cg.Muhammad bin Abdul Mutalib (selepas balik ke Kelantan beliau mengajar di sebuah sekolah menengah di jajahan Gua Musang) boleh lah memaklumkan kepada saya melalui ruang pesanan minda...
BACA LAGI...

AKINABALU KAMI DATANG!!

Bookmark and Share
Keterangan foto: Dari kiri; Muhammad Abdul Mutalib, Aku, Fatmah Mohd Yasin (Isteri Ag.Besar Suran), Ag.Besar Suran dan Razali Ayob (Kini pensyarah Fakulti Bahasa di UPSI) Berada di puncak Gunung Kinabalu (Low's Peak). Posing di belakang papan tanda Gunting bin Lagadan.
Ahli ekspedisi: Aku, Razali Ayob (kini: UPSI), Ag.Besar Suran, fatmah Mohd Yasin, Muhammad bin Abdul Mutalib, Bennedict Seth, Ust.Yusof Abu Samah (Kini: SMK Sg.Besar), Fazlee Abdullah dan guide kami bernama Dapit)
-----o0o-----
Bukan mudah nak mengimbas kembali peristiwa yang berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Tapi aku akan cuba menukilkannya di sini sebagai bahan dokumentasi ekpedisi tersebut. Ekspedisi tersebut berlaku pada 24-26 Mei 1992.
Aku pun tidak menjangka bahawa aku akan menyertai ekspedisi tersebut akhirnya. Setelah seorang daripada group tersebut tidak dapat menyertai atas aral yang tidak dapat dielakkan, akhirnya aku menerima tawaran ekspedisi tersebut.
Perjalanan dari Kuala Penyu sekitar 9.00 pagi dan terus bertolak ke Kota Kinabalu. Kami menaiki van Toyota Hi Ace (bas lah tu kat KP!) . Kalau tak silap kepunyaan En.Mat Ali. Sampai di KK aku dan Muhammad membeli bag yang sesuai untuk tujuan ekspedisi tersebut dan membuang beg sementara yang kami bawa dari flat guru. Perjalanan ke Taman Kinabalu amat menyeronokkan. Di kiri kanan jalan ramai orang tempatan berjual sayur-sayuran segar! Di samping itu latar belakang Banjaran Crooker tersergam dengan megah bagaikan sedia menerima kunjungan para pelancong! Kami sampai di challet lebih kurang 3.00 petang. Sempat merayau-rayau sambil posing di beberapa lokasi yang sangat cantik.
Waktu malamnya kami ke challet En.Hussein Ahmad Bee, pengetua SMK Kuala Penyu yang secara kebetulan turut berada di situ. Walau bagaimanapun dia tidak naik sekali ke puncak Kinabalu. Menurutnya dia dah banyak kali naik ke atas.
Lebih pukul 7.30 kami mula bergerak ke Power Station yang terletak di kaki Gunung Kinabalu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. setelah semuanya siap sedia, kami mula mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu kira-kira jam 8.00 pagi.
Bagi orang macam aku yang pertama kali mendaki ... letihnya tak terkira. Untuk keselesaan, aku terpaksa menukar seluar jeansku kepada seluar track. Dan mengikut Fazlee, aku kena kira 1 hingga 10 dan mula lagi pengiraan tersebut supaya ada motivasi untuk terus maju ke hadapan. Hampir setiap kali berselisih dengan pendaki yang turun aku akan bertanya, "Lama lagikah sampai?" Mereka seperti sudah ada skrip jawapan yang sama... "10 minit lagi sampailah liau..." Mula-mula aku percaya gak... Tapi setelah 10 minit tak sampai-sampai dan setiap yang aku tanya bercakap jawapan yang sama.... Aduhhh!! Lalu aku teringat cerita dulu-dulu... Orang asli yang memberitahu tentang jarak perjalanan dalam hutan. Di akan kata "Jauhnya kira-kira sebatang rokok..." Bagi yang mendengar untuk pertama kalinya, rasa seronok lah sebab tak jauh lagi sampai.. Tapi habis tiga batang rokok yang dihisap terus menerus sekali pun... memang tak sampai-sampai. apa tidaknya orang Asli itu bila merokok, dua tiga sedutan... dipadamkan apinya lalu selit di telinga... Bila nak merokok semula nyalakan api, sambung dua tiga sedutan kemudian selit lagi...! Kalau macam tu sehari pun tak habis sebatang rokok!! Cerita itu aku kongsi dengan kawan-kawan... Biarpun letih, masih mampu juga ketawa berdekah-dekah!
Paling kesian kat Ustaz Yusof. Antara kami dialah yang selalu paling belakang... Mungkin saiz badanya yang agak besar (hehe.. maaf ustaz ya..) dan dia agak slow motion sikit. Kesiannya sebab dia terpaksa bergerak secara marathon... tak boleh rehat lama-lama. Kami, bergerak patas sedikit dan bila sampai kat mana-mana shalter kami akan rehat sambil menunggu beliau.. Bila dia sampai kami ready nak bergerak dah... kesian gak kat dia.... Tapi kalau ikutkan dia.. alamat lewatlah sampai di Panar Laban. Aku hampir-hampir mengalami kejang kaki tidak jauh dari Panar Laban. Aku hampir terlentang... alhamdulillah ada yang sempat tahan aku dari belakang. Dengan bantuan deep-heat spray aku dapat meneruskan perjalanan ke Panar Laban.
Setelah melalui keletihan yang amat sangat kami sampai kat Panar Laban sekitar 2.00 petang(persinggahan sebelum mendaki puncak Kinabalu). Cuaca sangatlah sejuk.. Paling siksa bila nak buang air!! Mandi? Tak payah lah.... Aku tak pasti apa yang kami makan masa tu... Memanglah kat Panar Laban ada kefe, tapi mak oii.. harganya mahal bah! Ag.Besar dan isterinya di samping membawa coklat bar, dia turut membawa beberapa biji apple. Mula-mulanya aku pelik gak! Tetapi sebenarnya ia sangat menyegarkan!
Kami bermalam di Panar Laban sehingga pukul 3.30 pagi. Dalam cuaca yang agak baik (tanpa hujan) menurut guide kami, kami sangat bernasib baik. Kami dinasihati agar bernafas secara teratur kerana udara semakin ke arah puncak, semakin nipis. Ramai gak group-group lain yang muntah-muntah kerana masalah tersebut. Oleh sebab masa kami bertolah waktu subuh belum masuk... Aku dengan opsyen yang ada... aku ambil air sembahyang di sebuah kawasan yang berair (agak luas juga... ) dan solat di sebuah kawasan yang agak lapang. Sesudah itu aku kena sampai ke puncak dan turun semula sebelum matahari naik. Katanya jika terlewat, kami akan mengalami pengelupasan kulit yang serius. Itupun kami kena pakai lipstick! Auwwww!!
Alhamdulillah aku antara yang agak awal sampai ke puncak kinabalu. Iaitu di Puncak Low... Sempat menghayati panorama alam ciptaan Allah S.W.T untuk seketika sebelum turun semula... Kesian lagi sekali kat Ustaz Yusof.. dia antara yang paling lewat sampai tetapi kena turun sama-sama kami kerana takut sunburned.
Aku rasa pengalaman mendaki Gunung Kinabalu antara pengalaman aku yang sangat menarik untuk diingat sewaktu bermustautin di Bumi Di Bawah Bayu selama 4 tahun setengah.
BACA LAGI...
 

ADUHAI SAGA BLM...

17 Februari 2010 - Booking di Maha Mega Sdn.Bhd.,Tg.Malim

17 Mei 2010 - Terima. Alarm tidak berfungsi. Rujuk ke Karang Saujana, Tg.Malim. Tak terima sebab belum servis pertama.

26 Mei 2010 - 1st service & Repair alarm system - 2 jam. Karang Saujana, Tg.Malim. Ganti Eng.Oil, oil filter & Drain nat(?) Total = RM114.20

2 Jun 2010 - Repair water pipe ring - 3 Jam Karang Saujana, Tg.Malim. Total = RM5 (Ring tak masuk dalam warranty)

BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KPM

Perkhidmatan Pelajaran

PENGAJIAN AM 900

LAMAN PRA UNIVERSITI SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM

TRAFIK

free counters

PERSPEKTIF CIKGU MALEQUE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template