Meneliti kepada "khabar gembira hari guru" terkini tahun 2011 berkitan dengan lima kaedah kenaikan pangkat, menyebabkan fikiranku bersimpul-simpul. Agak faham, tapi lebih banyak yang tak faham. Jadi kesimpulannya berjerebu!
Kenaikan pangkat kerana mengisi kekosongan jawatan. Ini merupakan kaedah kenaikan pangkat yang sedia ada. Apabila ada kekosongan jawatan, maka jawatan tersebut akan diisi oleh orang yang berkelayakan. Jika tiada orang yang berkelayakan, orang yang paling hampir dengan kelayakan tersebut akan dilantik. Jika syarat perlantikan tidak sepenuhnya dipenuhi, maka orang itu akan memangku jawatan tersebut selama maksimum dua tahun. Contoh; kalau jawatan tersebut sepatutnya DG48, maka ia boleh dipangku oleh gred DG44. Ataupun telah ada orang yang memang menunggu peluang untuk naik pangkat, terus diserap ke gred tersebut tanpa perlu menunggu tempoh pemangkuan.
Kenaikan pangkat secara Khas untuk Penyandang (KUP). Ini juga kaedah kenaikan pangkat sedia ada. Walaupun pemakaian gelaran KUP ini masih tidak saya fahami seratus peratus, namun secara umunya pangkat secara KUP ini adalah milik setiap individu. Kalau sudah dapat KUP ertinya ia adalah kenaikan pangkat secara
time-based. Umpamanya daripada DG41 ke DG44 selama 10 tahun. Daripada DG44 ke DG48 selama sepuluh tahun. Kecuali kes guru-guru lepasan diploma perguruan menggunakan kaedah 3+1. Iaitu, tiga tahun perkhidmatan semasa mengajar di peringkat diploma perguruan bersamaan setahun pengalaman mengajar di peringkat ijazah. Maksimum tempoh yang diterima oleh kerajaan ialah sembilan tahun bersaman tiga tahun pengalaman mengajar di peringkat ijazah. Justeru, bagi guru-guru lepasan diploma perguruan yang kini telah memegang ijazah, tidak perlu menunggu 10 tahun untuk ke gred yang lebih tinggi. Mereka hanya perlu menunggu tujuh tahun sahaja. Bagi guru-guru yang tidak berpeluang mendapat manfaat 3+1 ini semasa permohonan gred DG41 ke Dg44 kerana mereka terlebih awal menerima kenaikan ke gred tersebut, mereka boleh menggunakan kaedah tersebut sewaktu membuat permohonan daripada gred DG44 ke DG48.
Cerita KUP ini biasanya hangat diperkatakan di peringkat gred DG41 dan DG48. Hal ini kerana kedua-dua gred tersebut lazimnya tidak melibatkan kenaikan pangkat secara hakiki. Tetapi apabila seseorang itu telah dinaikkan pangkat secara hakiki seperti penolong kanan pentadbiran, KUPnya selepas itu hanyalah 3 tahun. Bagi guru-guru yang tiada jawatan hakiki, setakat DG48 sahajalah gred tertinggi yang layak dipegang sehingga usia persaraan.
Kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan (KPBTP). Kaedah ini adalah penambahbaikan kepada guru-guru pengajaran dan pembelajaran (PDP). Mengikut skim yang sedia ada guru-guru yang tidak berada dalam line pentadbiran, guru cemerlang, guru tingkatan enam hanya berpeluang menamatkan tempoh perkhidmatan setakat DG48 sahaja. Justeru, mengikut KBPTP guru-guru PDP akan melalui empat tahap perkhidmatan iaitu;
- Guru penolong (biasa) DG41-DG48 kenaikan pangkat secara KUP
- Guru kanan (mata pelajaran) DG44-DG48 kenaikan pangkat secara KUP
- Guru Wibawa (DG52)?
- Pendita Guru (DG54)?
- Gred Khas (JUSA C)
Namun, kenaikan pangkat ke GW dan PG bukan secara automatik. Ia perlu memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP).
Nampaknya semacam ada pertindanan dengan kaedah kenaikan pangkat secara KUP. Cuma, pada pandangan saya KBPTP adalah pilihan kepada guru-guru yang tidak berada dalam line Guru Cemerlang (GC) untuk pergi lebih jauh setelah mencecah DG48. Mungkin seseorang guru itu bimbang untuk berada dalam GC sebelumnya kerana kekangan tugas dan sebagainya, maka mereka boleh memohon untuk ke pangkat Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
Kalau dililihat dalam lapisan perjawatan di atas, guru kanan bukan bererti ketua bidang (KB). Malah, semua orang yang telah memohon dan dinaikkan pangkat daripada DG41 secara khas telah dianggap guru kanan. Begitu juga dalam kes DG44. Cuma daripada sekumpulan guru kanan akan dilantik seorang sebagai ketua bidang mata pelajaran masing-masing. Ketua bidang tidak dianggap jawatan hakiki, malah mungkin jawatan Guru Kanan itu adalah jawatan hakiki. Justeru berkemungkinan akan adalah KB Matematik & Sains, KB Kemanusiaan, KB Teknik dan Vokasional dan KB Bahasa. Jadi semua guru PDP berpeluang ke JUSA C dengan syarat ia memenuhi kriteria kecemerlangan yang ditetapkan oleh LKPPP.
Mungkin kaedah ini dilaksanakan bagi menyelesaikan satu isu apabila semua guru di sekolah menengah dan rendah seratus peratus berijazah. Semuanya akan menggunakan kaedah kenaikan pangkat yang tunggal. Cuma yang membezakannya hanya sekolah menengah atau rendah. Nampaknya JUSA C juga boleh muncul di sekolah rendah.
Satu soalan yang saya ingin utarakan di sini ialah apa pula yang terjadi kepada skim perjawatan di tingkatan enam? Pelaksanaan skim yang baru dua tahun diperkenalkan ini semakin tidak jelas apabila kaedah kenaikan pangkat yang terbaru ini diwar-warkan. Mengikut atas kertas, Guru Akademik Tingkatab 6 (GAT6) boleh pergi sehingga DG52. Tetapi, tiada seorang pun lagi rasanya yang dilantik sehingga ke gred tersebut. Kemelut DG44 ke DG48 (mereka yang terpaksa digerakkan ke gred DG44 secara setara kerana masalah kuota) pun masih belum selesai. Melihat kepada kemelut yang belum selesai-selesai ini ada kemungkinan ramai guru GAT6 akan masuk balik ke aliran perdana kerana skim yang baru diumumkan ini memungkin seseorang guru itu pergi lebih jauh berbanding GAT6.
Walau bagaimanapun jika kaedah kenaikan pangkat ini terpakai dalam konteks GAT6, maka ia dianggap selari dengan maksud asal apa yang ingin dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Sementelahan pula GAT6 juga dikategorikan sebagai guru PDP. Namun jika kaedah yang dipakai untuk GAT6 seperti kaedah yang digunakan untuk GC, juga ada manasabahnya kerana selama ini kami dimaklumkan bahawa GAT6 adalah
fast-track seperti juga GC.
Inilah yang bersimpul-simpul dalam minda. Ia sekadar luahan yang mungkin menarik untuk dibincankan dalam kalangan rakan-rakan maya. Saya tak nak bincang lagi dua kenaikan pangkat iaitu Guru Bear dan Pengetua Cemerlang serta Guru Cemerlang kerana ia merupakan kaedah kenaikan pangkat yang telah mantap serta sedang diguna pakai sekarang ini.