Hari berganti pekan dan kini masuk dua purnama episod si suami menjatuhkan talak di sebuah mahkamah syariah di utara tanah air berlalu. Kalau dikira tiga kali quru' (suci), waktu 'idah aku kira masanya telah pun sampai. Aku cuba bertanya kepada sahabat yang sering mengutus berita kepadaku namun gagal. Entahlah, barangkali masing-masing dengan plan masing-masing lalu tiada berita yang penting untuk dimaklumkan kepadaku...
Sepatutnya kes tersebut perlu dirujuk kembali kepada mahkamah syariah semula bagi menentukan siapa yang berhak menjaga anak-anak. Walaupun secara zahir bekas isterinya (BI) dilihat sangat berkelayakan untuk mendapat hadanah sepenuhnya untuk kelima-lima anak mereka, namun sewaktu si suami (SS) menjatuhkan talak tempoh hari, aku dimaklumkan ss hendak menuntut sebahagian atau sepenuhnya anak-anak mereka itu.
Menurut sahabatku itu, latar belakang keluarga belah BI itu dilihat tidak boleh menjadi teladan yang baik sewaktu anak-anak sedang membesar. Boleh dikatakan seluruh keluarganya berantakan dan sangat-sangat tidak harmoni. Panjang ceritanya kalau hendak dinukilkan dalam ruang ini... daripada cerita tersebut aku rasa SS berpeluang untuk mendapatkan hak penjagaan walaupun mungkin tidak semua kerana dua anak yang kecil sekali masih menyusu ibunya.
Pada minggu lepas aku menerima beberapa keping kad undangan walimatul urus. Daripada dua tiga kad yang aku terima aku terkejut kerana salah satu kad tersebut datangnya daripada SS yang aku ceritakan dalam ruang ini. Wah! aku mesti nak datang... nampaknya aku terpaksa menolak satu lagi undangan bekas penolong kanan sekolahku yang menghawinkan anak lelakinya kerana jarak rumah SS itu agak jauh iaitu kira-kira dua jam setengah perjalanan maka aku tidak berupaya berada di dua tempat yang berlainan pada satu masa yang sama.
Entah bagaimana akhirnya aku dapat pula berhubung dengan rakan yang sering menjadi informer kepadaku. Oleh itu aku menyatakan hasrat untuk pergi ke majlis tersebut dan ingin berbual panjang dengan rakanku itu sebelum atau selepas majlis walimah. Rupa-rupanya hasratku itu disampaikan kepada SS. Dan, pada petang khamis SS menelefon aku... Katanya, jika aku tidak berkeberatan, dia menjemput aku hadir sehari lebih awal iatu pada hari Jumaat dan terus menjadi sebahagian daripada rombongan keluarga SS ke rumah pengantin perempuan pada hari sabtu.
Setalah berbincang dengan isteriku, akhirnya pada lewat pagi Jumaat aku bergerak ke arah utara menuju sebuah pekan kecil P. Hanya anakku yang nombor thani yang tidak ikut kerana masa tu bukan time balik dari asrama. Secara kebetulan pula pada hari tersebut cuti umum Wesak, jadi isteriku tidak banyak soal untuk mengadakan "outing" mengejut.
Perjalanan yang lancar melalui jalan lama kekadang sangat menyegarkan. Melalui kampung demi kampung Melayu tradisi sehinggalah menjelang solat Jumaat aku sampai ke laman SS. Aku rasa sedikit gementar kerana aku tidak pernah bersua sebelum ini. Cuma ajakan sungguh-sungguh daripada SS melalui telefon beberapa hari lalu menjadikan aku tidak berupaya menolaknya... Apa yang aku lebih tersentuh ialah, dia mengikuti seluruh tulisanku dan ramai rakan-rakanhya yang tidak tahu hujung pangkal kisahnya itu menjadi tulisanku itu sebagai rujukan untuk mengetahui ceria duka perkahwinanya yang terdahulu sehinggalah detik berpisah.
Namun aku tidak berupaya menolak rasa gementar kerana bimbang kalau-kalau ada cerita yang aku tulis tidak tepat. Maklumlah ia seratus persen bergantung kepada maklumat yang aku terima dan pandangan peribadiku sendiri. Mujurlah sampai sahaja di rumah SS, aku mengecam wajah rakanku di celahan manusia yang agak ramai itu. Rasa sedikit silu apabila seluruh mata yang ada menyorot ke arah kami sekeluarga. Aku mengesyaki di sebelah rakanku itulah SS. Sederhana tinggi, berkulit sawo matang sambil berkumis dan janggut nipis sambil melemparkan senyuman kepada kami.
Tepat sekali agakanku. Rakanku, R dan H dan emak H menghampiri kami. Kami bersalaman-salaman. Persis keluarga lakunya walaupun itulah kali pertama kami bertemu. Memandangkan waktu solat Jumaat sudah hampir, aku mempelawa R dan H serta ayah H naik MPVku menuju ke masjid yang sederhana jauhnya dari rumah H. Kampung tempat tinggal H dilingkungi dengan kehijauan kelapa sawit dan dusun buahan. Kelihatan juga pepohonan getah tua yang kelihatannya sudah tidak ditoreh lagi.
Sejujurnya, aku tidak faham sangat dengan apa yang disampaikan oleh khatib tua yang membaca khutbah tersebut. Bahasa Melayu dialek seberang yang agak pekat. Ditambah pula dengan rasa ngantuk teramat sangat menjadikan suara khatib tenggelam timbul. Sedar-sedar pehaku ditepuk oleh seorang makmum di sebelahku, khatib sudah usai membaca khutbahnya rupanya!
Berada di rumah emak bapak H, aku rasa sangat terharu. "Sambutan" yang aku terima sungguh luar biasa. Keluarganya yang ramah-tamah menjadikan aku rasa aku bukan orang asing di situ. Masya Allah, begitulah kuatnya ukhuwah masyarakat desa dengan tetamunya. Anehnya, anak-anakku yang biasanya agak payah menyesuaikan diri dengan orang yang tidak kenali elok bermain dengan kawan-kawan yang baru dikenalinya. Isteriku, berada di dapur membantu apa-apa yang patut...
Cuaca yang agak redup ditambah dengan desiran angin sore menjadikan ruang serambi rumah H adalah tempat yang paling sesuai untuk kami bersembang. Tanpa aku meminta, H bercerita kepadaku satu persatu apa yang telah berlaku selepas perceraianya tempoh hari sehinggalah cerita-cerita terkini tentang dirinya.
H berkata, BI ada membuat beberapa plan agar mereka merujuk kembali. Fikir sekali memang ada rasa simpati terutamanya apabila melihat anak-anak. Namun bila difikirkan sejarah lampau, H sudah serik untuk berkongsi hidup dengan BI. Meskipun BI menyatakan hasrat ingin kembali tetapi sms yang dihantar penuh dengan "ugutan" yang menampakkan seolah-olahnya H lah yang bersalah. Umpamanya ungkapan..
"... pintu untuk kembali masih terbuka... atau tunggulah balasan Allah S.W.T. kepada manusia yang ingkar akan larangan-Nya.."Bukan satu, dua malah belasan sms yang lebih kurang mahfumnya dihantar kepada H.
"Begitukah ayat daripada seorang isteri yang meminta suaminya merujuk dirinya kembali... Tanpa maaf yang bersungguh-sungguh malah sebaliknya tetap dengan egonya... kepala batunya..." Luah H dengan wajah yang menyinga.Menurutnya, sehingga detik akhir waktu 'idah pun dia masih menerima sms yang sama daripada BI. Lalu H membalasnya dengan menyatakan...
"Aku sudah tobat untuk hidup bersama-sama kamu lagi.."Menurut H lagi, pada dua minggu lepas BI ada menghubungi H supaya datang ke rumah mertuanya untuk mengambil anak-anak. Terkejut beruk H apabila peluang sebegitu datang secara tiba-tiba. Sebab, sebelum ini BI tidak membenarkan H bertemu anak-anaknya. Kali terakhir H bertemu anak-anaknya sewaktu BI mengerjakan umrah. Masa tu sebelum H menjatuhkan talak secara rasmi di mahkamah syariah.
Tanpa berfikir panjang H mengambil anak-anak. Tetapi ada beberapa syarat yang mesti H penuhi. Agak pelik bunyinya... umpamanya, anak-anak tidak boleh tidur dengan neneknya. Jika sakit jangan bawa ke mana-mana melainkan bacaan ayat-ayat sifa' daripada ayahnya sahaja dan beberpa syarat lain yang aku sudah lupa. Sewaktu tarikh pemulangan anak-anak sudah sampai, H menerima kata dua dari BI supaya H mematuhi masa penghantaran iatu tepat pada pukul 3 petang di sebua masjid berhampiran dengan rumah emak mertua H. Agak pelik... seolah-olah H bukan ayahnya yang masih ada hak menjaga anak-anaknya itu...
Menurut H, penghantaran anak-anak tersebut merupakan perancangan BI. Masa tu tempoh 'iddah masih ada lagi. Justeru dengan adanya anak-anak diharapkan H akan rasa simpati dan akhirnya H akan kembali semula dengan BI. Begitulah idea BI.
Rupa-rupanya dalam tempoh beberapa bulan ini juga ramai rakan H yang bersimpati cuba memperkenalkan calon-calon isteri kepada H. Mulanya H berpendirian tidak mahu tergesa-gesa berumah tangga semula... Tapi menurut H, emaknya risau melihat dirinya yang kebingungan apabila terkenangkan anak-anak yang jauh di mata. Biasanya kalau di rumah, dialah yang banyak menguruskan anak-anak. Jadi, apabila anak-anak dikawal sepenuhnya oleh BI, H berasa sangat sepi... kosong...
Dengan takdir Allah S.W.T. hatinya terpaut pada seorang cikgu yang dikenalkan oleh salah seorang rakannya. Dengan latar belakang kehidupan berkeluarga yang hampir sama menjadikan mereka ada persamaan pengalaman lampau yang perlu dikongsi bagi membina satu kehidupan baru yang lebih bahagia. Begitulah kata H kepadaku. Selain daripada itu, dengan perkahwinan tersebut menjadi satu asas yang kuat bahawa H boleh menuntut hak penjagaan anak-anak daripada BI.
Cerita panjang lebar itu beberapa kali ditangguhkan. Solat Asar, solat maghrib, makan malam dan berakhir sekitar pukul 10.00 malam. Tetapi, aku lupa sama ada H meminta aku menulis tentang cerita yang tersebut. Walau bagaimanapun, aku berani mengandaikan bahawa dia tidak melarang aku menulis dalam ruang ini... menyuruh juga tidak, memandangkan bukan mudah untuk menulis cerita yang berbelit-belit tersebut, dan tentunya akan mengambil masa yang lama.
Malangnya aku tidak berupaya menerima pelawaannya untuk mengikuti rombongan pegantin lelaki ke rumah pengantin perempuan. Aku kena segera balik ke TM kerana pada hari Ahad, aku akan menghadiri mesyuarat di KL. Namun, sebelum aku bertolak balik emak H mohon agar aku mendoakan kebahagian untuk H bersama isteri barunya... Insya Allah.
1 PANDANGAN:
smoge kekal bhagie dgn wife baru..n moge2 BI akan sedar akan kecilapannya dan kembali mnjadi is3 solehah jika ditakdirkan BI akan berkahwin lagi suatu hari nnt...wallahualam...amin....
Post a Comment
TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...