The company of a good friend is like an owner of musk; if you don’t buy anything, you will get the smell of it. The company of a bad friend is like the blacksmith’s bellows; if you are not affected by its black dirt, you will be touched by its smoke.

Friday, May 28, 2010

ISU TINGKATAN ENAM LAGI

Friday, May 28, 2010
Bookmark and Share
Sekali lagi saya sangat berminat untuk membicarakan isu tingkatan enam dalam ruang ini. Pada kesempatan ini saya cuba mengenal pasti punca mengapa 2/3 daripada sejumlah 280 orang pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam tidak mendaftarakan diri di sekolah saya Manakala sebilangan pelajar yang telah mendaftar sedang mengintai-intai peluang untuk keluar daripada tingkatan enam.

Aliran keluar dan masuk yang aktif.

Di sekolah-sekolah Pusat Pengajian Tingkatan Enam (PPTE) pada ketika ini masih lagi "sibuk". Para pelajar enam rendah masih belum lagi settled. Aliran traffic keluar masuk masih lagi berlaku walaupun pengajaran dan pembelajaran (p&p) telah bermula. Hal tersebut berlaku disebabkan masih ada beberapa lagi peluang yang mereka sedang rebut sebelum terlewat.

Pertama, ke matrikulasi IPTA. Selepas gagal ke matrikulasi KPM, para pelajar masih lagi berpeluang untuk ke matrikulasi serta pusat asasi yang dikendalikan oleh IPTA. Namun, lazimnya bilangan yang terlibat tidak begitu ramai kerana biasanya para pelajar ini mempunyai keputusan yang cemerlang dalam SPM tetapi enggan ke matrikulasi KPM.

Kedua, perpindahan keluar dan masuk sekolah. Ada sebilangan pelajar yang ditawarkan ke PPTE yang tidak bersesuaian dengan kedudukan tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, sewaktu di tingkatan 5, para pelajar belajar di sekolah yang tiada tingkatan 6. Oleh itu, apabila tawaran sampai mereka ditempatkan di sekolah lain yang lebih jauh serta berkemungkinan tiada kemudahan asrama. Dalam kes ini para pelajar terpaksa mencari PPTE yang ada asrama atau memilih belajar di sekolah yang berhampiran dengan rumahnya walaupun ada kalanya terpaksa "berhijrah" ke negeri lain.

Ketiga, bertukar bidang. Kes ini lazimnya melibatkan para pelajar aliran sains. Mereka ditawarkan ke aliran sains memandangkan keputusan mereka yang agak baik serta layak untuk ditawarkan ke aliran sains. Walau bagaimanapun sejarah lampau barangkali banyak menghantui mereka. Bukan mudah berada di tingkatan 6 aliran sains. Jika diimbas kembali pengwujudan pusat matrikulasi serta asasi sains, fenomena ini ada asasnya. Justeru, ramai daripada kalangan mereka akan bertukar ke bidang kemanusiaan. Jika mereka ditawarkan ke sekolah (yang ada aliran sains) yang terletak jauh dari rumah, walhal ada sekolah PPTE yang terletak berhampiran dengan kediaman mereka tetapi tiada aliran sains, kebanyakan kes mereka akan memohon pula bertukar sekolah pula.

Keempat bertukar kerana reputasi sekolah. Dalam konteks semasa,t iada halangan kepada para pelajar untuk bersekolah di mana-mana. Walaupun pihak JPN menetapkan sekolah-sekolah tertentu untuk menerima para pelajar tersebut, tetapi selepas pendaftaran para pelajar boleh memohon tukar ke sekolah-sekolah lain yang dilihat lebih hebat. Kadang-kadang ia melampaui daerah dan negeri. Asalkan perkara-perkara asas seperti tempat penginapan tiada masalah, maka perkara-perkara lain turut tiada masalah.

Kelima, tawaran UPU. Menjelang hujung Jun dan awal Julai, fenomena gelombang kedua keluar masuk ini akan berlaku secara lebih besar. Pada ketika itu UPU akan menawarkan program diploma dan pra diploma kepada para pelajar yang layak. Sekitar 90% pelajar yang ditawarkan ke program tersebut akan menerima tawaran. Begitu juga ada yang ditawarkan ke program yang sama di IPTS. Kalau dilihat trend beberapa tahun lepas, para pelajar yang kekal bertahan di tingkatan enam sekitar 70% daripada jumlah pelajar tingkatan enam rendah yang ada.

Keenam, pengambilan kedua IPTA. Bagi pelajar yang gagal mendapat tawaran ke IPTA, lazimnya akan membuat rayuan. Dalam kes-kes sebegini bilangannya tidaklah ramai. Mungkin sekitar beberapa orang sahaja.

Daripada beberapa faktor di atas, jelas sekali tingkatan enam bukanlah destinasi utama yang menjadi pilihan para pelajar selepas SPM. Sebab itulah hanya 1/3 pelajar yang ditawarkan ke tingkatan enam mendaftarkan diri di sekolah saya. Selebihnya ghaib dan tentunya tidak berminat. Saya melihat perkara ini agak serius. Saya berharap fenomena tersebut akan berkurangan apabila sistem modular (SM) dilaksanakan menjelang 2011. Namun, daripada penelitian saya, ada dua isu besar yang harus diberi peneilitian yang sewajarya. Pertama isu pembelajaran dan kedua isu persekitaran. Bagi menjelaskan kedua-dua isu tersebut, elok rasanya kalau saya membuat perbandingan dengan pesaing bagi kedua-dua isu tersebut sekali gus.

Isu Pembelajaran.

STPM dikatakan susah. Banyak buku kena baca. Belum ada jaminan pasti lulus STPM dan akhirnya ke menara gading. Berbanding dengan di IPTA atau di IPTS. Bilangan pelajar yang gagal mendapat diploma terlalu kecil. Sesi pembelajaran secara semester tidak membebankan pelajar. Peperiksaan ditadbir secara dalaman di IPTA dan IPTS. Oleh itu para pelajar lebih tahu skop topik yang akan diuji dalam peperiksaan. Selain daripada itu kerja-kerja kursus yang dilakukan akan menyumbah sejumlah peratusan yang agak besar dalam peperiksaan akhir.

Jadual waktu yang rigid. Di tingkatan enam masih lagi mengamalkan jadual waktu yang lebih kurang sama dengan para pelajar aliran perdana (tingkatan 1 hingga 5). Dalam kes di sekolah saya, beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, kokurikulum dilaksanakan selepas waktu p&p iaitu dari pukul 1.10 sehingga 2.30 petang. Keadaan ini berlainan di IPTA dan IPTS. Mereka akan datang dan pergi mengikut kesesuaian masa p&p. Selebihnya, sama ada mereka akan ke perpustakaan atau menyiapkan tugasan-tugasan di rumah atau di bilik-bilik khas.

Isu Persekitaran.

Kekurangan bahan di pusat sumber sekolah (PSS). Walaupun mata-mata pelajaran di peringkat STPM masih relevan dengan sistem persekolahan, namun bahan rujukan bertaraf prauniversiti tidak disediakan dengan secukupnya. Bahan-bahan bacaan ilmiah (bukan nota dan bahan rujukan peperiksaan) yang menyokong p&p sangat minimum. Sedangkan semua mata pelajaran di peringkat STPM tiada sebarang buku teks. Hal sedemikian tidak berlaku di IPTA dan IPTS. Masing-masing menjadikan pusat sumber sebagai tarikan utama para pelajar ke situ. Masing-masing menyatakan pusat sumber mereka mempunyai koleksi rujukan yang terbanyak berbanding pusat-pusat pengajian yang lain.

Peraturan yang rigid ke PSS. PSS masih mengikut prosedur biasa seperti peraturan yang dikenakan kepada para pelajar aliran perdana. Umpamanya mesti ada kebenaran guru atau bersama-sama guru sewaktu berkunjung ke PSS. Fenomena tersebut kadang-kadang menyebabkan para pelajar malas hendak ke PSS. Berada di IPTA dan IPTS, pusat sumber adalah "rakan" yang sangat akrab kepada para pelajar. Mereka bukan sahaja menjadikan pusat sumber sebagi tempat membuat rujukan malah pelbagai aktiviti lain termasuklah perbincangan, akses internet dan konsultasi dengan pensyarah.

Uniform sekolah. Daripada sembang-sembang dengan para pelajar yang tidak begitu seronok berada di tingkatan enam menyatakan bahawa mereka "cemburu" dengan rakan-rakannya yang berada di IPTA dan IPTS tidak lagi memakai uniform sekolah. Mereka dilihat sudah jemu memakai uniform sekolah sejak 11 tahun yang lalu. Keadaan tersebut tidak terlalu ketara kira-kira 10 tahun yang lalu kerana pada ketika itu tidak banyak IPTA dan IPTS diwujudkan untuk program-program pasca SPM.

Justeru, melalui pelaksanaan SM yang akan berlangsung pada tahun hadapan, kita tidak pasti sama ada sentimen tidak suka ke tingkatan enam akan berakhir atau akan mencetuskan pula fenomena yang lain. Sekali imbas, SM hanya berupaya menyelesaikan sebahagian isu pembelajaran sahaja. Jika dilihat jadual pelaksanaan sistem tiga semester seperti di matrikulasi dan di IPTA/ IPTS, ia akan meringankan beban pembelajaran para pelajar. Mereka akan menduduki tiga peperiksaan sepanjang tiga semester. Jika keputusan mana-mana dua semester awal tidak begitu baik, mereka boleh mengulang pada semester ketiga. Manakala jadual yang rigid masih lagi dilihat tidak berubah. Para pelajar dikehendaki berada di sekolah dari pukul 7.30 pagi sehingga 2.30 petang. Walau bagaimanapun saya tidak melihat ia satu masalah yang sangat besar lagipun para pelajar masih lagi "mesra" dengan budaya belajar yang sedemikian.

Namun, isu-isu persekitaran dilihat lebih mencabar pihak KPM. Walaupun banyak budi bicara serta penyelesian diserahkan kepada pihak sekolah, namun ia sebenarnya memerlukan campur tangan pihak KPM. Isu PSS yang saya nyatakan di atas serta banyak lagi kemudahan asas untuk prauniversiti seperti yang digariskan dalam senarai semak KPM sewaktu memantau minggu orientasi tingkatan enam rendah baru-baru ini perlukan tindakan segera daripada pihak KPM. Bilik kuliah (berserta peralatannya), bilik penolong kanan tingkatan 6, bilik guru para pensyarah, makmal sains, makmal komputer dan banyak lagi. Jika semau itu perlu dilengkapkan, sudah pasti akan memakan kos yang sangat tinggi.

Pada pandangan saya, pihak KPM perlu memikirkan alternatif lain yang lebih praktikal. Sebagai contoh membina sebuah PPTE di setiap daerah. Atau menukar status sebuah sekolah tertentu dalam setiap daerah daripada sekolah aliran perdana kepada PPTE. Oleh sebab bilangan pelajar tingkatan enam sehingga kini sekitar 1/3 daripada sejumlah yang ditawarkan maka pilihlah sekolah yang sederhana besar saiznya tetapi cukup prasarana untuk sebuah PPTE berfungsi dengan baik.

Kewujudan PPTE sejak dijenamakan semula sebenarnya mengundang beberapa sub budaya yang agak tidak sihat. Sebagai contoh, pemisahan pentadbiran antara PPTE dan aliran perdana mengundang tafsiran-tafsiran yang negatif serta berupaya mengeruhkan hubungan antara guru dan pihak pentadbiran.

Kewujudan perjawatan guru akademik tingkatan enam (GAT6) DG44, DG48 dan DG52 dilihat menjadi idaman kepada ramai guru. Bukan sahaja guru-guru yang pernah mengajar tingkatan enam, malah mereka yang tidak pernah mengajar pun turut berminat. Ada cerita-cerita yang menyatakan penolong kanan pun berminat melepaskan jawatan untuk memohon gred yang lebih tinggi dalam GAT6. Perkara tersebut tidaklah menjadi satu masalah. KPM pun membenarkan sesiapa yang berkelayakan untuk memohon GAT6. Walau bagaimanapun dalam proses memperakui GAT6, pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) punyai syarat tertentu bagi memilih GAT6 yag benar-benar layak. Justeru, ramai yang tak dapat. Maka banyaklah cerita-cerita, ulasan-ulasan, kritikan-kritikan yang pelbagai terhadap GAT6 yang diperakukan oleh pihak BSM.

Begitu juga dengan bentuk jadual waktu p&p para pensyarah tingkatan 6 yang turut dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Ia dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan guru-guru aliran perdana. Waktu mengajar yang dilihat sedikit manakala kewajaran memasukkan beberapa aktiviti seperti R&D, kolokium, pentaksiran dan beberapa lagi dalam jadual waktu turut dipersoalkan.

Penglibatan dalam aktivit kokurikulum turut menjadi isu. Guru-guru tingkatan enam yang mengandalikan aktiviti kokurikulum di peringkat tingkatan enam masih perlu dilibatkan dalam aktiviti kokurikulum dalam aliran perdana. Oleh itu, setiap guru tingkatan enam mempunyai lebih daripada tiga bidang kokurikulum. Apabila keadaan ini berlaku menyebabkan beberapa salah faham timbul dan hubungan antara rakan sejawat mulai bermasalah.

Jika diteliti secara mendalam bayak lagi titik bengik yang timbul dengan pewujudan "dua" sistem aliran ini. Oleh itu, untuk perancangan jangka pendek dan panjang sangat wajar dan praktikal jika PPTE beropersi dalam sebuah sekolah di setiap daerah. Apa juga pembaharuan atau penjenamaan yang berlaku tidak akan menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak lain yang tidak berkaitan tetapi sering dikaitkan kerana salah tafsir tentang sesuatu perkara.

Jika alternatif ini menjadi realiti, lebih banyak daya tarikan dapat dilakukan. Masa pembelajaran yang lebih fleksibel, kemudahan asrama yang lebih optimum, isu uniform dan banyak lagi. Tidak hairan jika minat para pelajar akan bertukar arah dan bersedia menerima tawaran belajar PPTE! Tambahan pula, pegawai yang mengurus tingkatan enam di peringkat PPD, JPN dan KPM akan lebih mudah dan tentunya akan lebih efisyen.

Kesimpulannya, usaha menjanamakan semula tingkatan enam dilihat sangat wajar. Hal ini sedimikian kerana tingkatan enam merupakan "jalan terus" kepada para pelajar ke program ijazah di universiti selain program matrikulasi dan asasi sains. Walau bagaimanapun bagi meletakkan jenama tersebut sejajar dengan IPTA dan IPTS, ia memerlukan kepada usaha pemurnian keseluruhan sistem yang berkaitan.

Facebook Comments

10 PANDANGAN:

Anonymous said...

pandangan yang menarik dan merungkai perasaan yang dihadapi oleh pelajar2 stpm.Harap mereka akan lebih diberi perhatian juga,jangan kekal dalam sistem yang lama,sistem persekolahan yang agak membebankan bagi sukatan pelajaran mereka yang lebih kurang seperti undergraduate student.sebagai bekas pps,saya merasakan perlulah ada pusat sumber hanya untuk tingkatan 6 sahaja,dan diadakan stop centre khas untuk mereka untuk mereka mudah bertanya soalan kepada pensyarah pra-u secara peribadi.banyak yang perlu diperbaiki,nampaknya tingkatan 6 ni dipandang rendah oleh sesetengah pihak,kecewa juga kerana mereka masih modal insan yang masih terus mencuba walaupun keputusan SPM kurang memberangsangkan.

Anonymous said...

Cikgu2 yang mengajar SPM perlu dedahkan kebaikan STPM supaya pelajar minat. Tiada pendedahan yang diberi pada pelajar peringkat SPM even sekolah yang mereka belajar ada Tingkatan Enam.

Anonymous said...

ada duit, banyak boleh jadi...

Anonymous said...

Walaupun dah 25 tahun menduduki STPM terasa masih ada persamaan isu mengapa ramai tak nak ke tingkatan enam.

Semoga cadangan bernas Cikgu Malegue mendapat perhatian

Anonymous said...

sebenarnya isu ni dah lama dibangkitkan,mungkin ini masanya kita mencari punca dan penyelesaian.
berdasarkan komen anonymous..sudah 25 tahun bnda ni berlaku,maknanya kita memerlukan turning point untuk semua ni.:)

Anonymous said...

nk komen,tapi x abis bace lagi la

Anonymous said...

Membina PPTE untuk kawasan tertentu dapat menyelesaikan banyak masalah namun terdapat juga kelemahannya. Pra-u yang diharap dapat menarik minat pelajar lepasan SPM sepatutnya dapat dilihat lebih dekat oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5. Dengan adanya pra-u di sekolah-sekolah, pelajar aliran perdana dapat mengikuti secara langsung perjalanan dan perkembangan serta aktiviti pra-u di sekolah masing-masing. Dengan pelaksanaan dan pengendalian program pra-u yang berada pada tahap sepatutnya, akan menjadi daya tarikan dan promosi yang baik kepada pelajar Tingkatan 5 untuk berkeinginan meneruskan pengajian mereka di peringkat pra-u di sekolah. Ini ditambah pula dengan kos pengajian yang rendah kerana pelajar masih boleh tinggal dengan keluarga tanpa perlu menyewa, bagi yang tinggal berhampiran sekolah pula tiada masalah pengangkutan.

MALEQUE SELAMAT on June 19, 2010 at 10:50 PM said...

Untuk seketita ini, saya melihat pengurusan tingkatan 6 di sekolah2 sangat tidak seragam. Macam2 hal yang berlaku sehingga menyebabkan PKT6 dan GAT6 tersepit antara tuntutan aliran perdana dan tingkatan 6...
Namun, masalah yang berlaku ini tidaklah sampai didedahkan kepada pelajar secara jelas seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku... Memang ada benarnya segala pembaharuan dalam tingkat 6 telah menimbulkan kesan yang positif terhadap para pelajar tingkatan 5, tetapi hakikat yang terjadi.. daripada lebih krang 280 yang ditawarkan hanya 1/4 orang sahaja yang melapor diri ....

Anonymous said...

Saya salah seorang pelajar tingkatan 6 rendah di salah sebuah sekolah di Pulau Pinang.Saya ingin berkongsi serba sedikit pandangan saya tentang penjenamaan semula tingkatan 6.Walaupun sudah masuk akhir bulan September namun masih ramai rakan-rakan saya yang masih mengintai-ngintai peluang untuk keluar dari tingkatan 6.Ramai yang tertunggu-tunggu keputusan uitm second intake keluar dan ramai juga mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja sementara menunggu permohonan ke uitm atau kolej swasta.Banyak aspek yang dipertikaikan rakan-rakan seperti disiplin sekolah yang wajib kami patuhi.Masalah guru-guru yang tidak memberi kebebasan kepada kami.Kami berasa seolah-olah dikongkong dengan suasana persekitaran.Guru-guru selalu menegur tentang pakaian,rambut dan sebagainya.Telefon bimbit juga tidak dibenarkan bawa ke sekolah.Terasa alangkah indahnya jika dapat keluar dari tingkatan 6 dan dapat menjejak rakan-rakan lain yang telah sampai ke matrikulasi dan menara gading.Dapat keluar dari sekolah dan menikmati kebebasan.Kami juga terikat dengan waktu persekolahan yang panjang.Banyak masa dihabiskan di sekolah dengan kurikulum dan ko-kurikulum.Selain itu,kami dibebani dengan banyak kerja rumah.Banyak buku harus dibaca,banyak latihan yang harus dibuat,banyak nota yang harus disiapkan.Dibebani pula dengan kerja R & C yang harus disiapkan dalam waktu yang ditetapkan.Terasa sungguh membebankan.Akhirnya,kerana tidak dapat menyiapkan tugasan-tugasan tersebut,pada hari yang indah ini saya mengambil keputusan untuk ponteng sekolah. hehhe..........

Anonymous said...

salam cikgu,mohon share yer...

Post a Comment

TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...

 

ADUHAI SAGA BLM...

17 Februari 2010 - Booking di Maha Mega Sdn.Bhd.,Tg.Malim

17 Mei 2010 - Terima. Alarm tidak berfungsi. Rujuk ke Karang Saujana, Tg.Malim. Tak terima sebab belum servis pertama.

26 Mei 2010 - 1st service & Repair alarm system - 2 jam. Karang Saujana, Tg.Malim. Ganti Eng.Oil, oil filter & Drain nat(?) Total = RM114.20

2 Jun 2010 - Repair water pipe ring - 3 Jam Karang Saujana, Tg.Malim. Total = RM5 (Ring tak masuk dalam warranty)

BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KPM

Perkhidmatan Pelajaran

PENGAJIAN AM 900

LAMAN PRA UNIVERSITI SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM

TRAFIK

free counters

PERSPEKTIF CIKGU MALEQUE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template