The company of a good friend is like an owner of musk; if you don’t buy anything, you will get the smell of it. The company of a bad friend is like the blacksmith’s bellows; if you are not affected by its black dirt, you will be touched by its smoke.

Wednesday, June 2, 2010

GURU BARU DI SESEBUAH SEKOLAH: DI MANA HARUS BERMULA?

Wednesday, June 2, 2010
Bookmark and Share
Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Begitulah generalisasi yang telah sekian lama dipasak dalam minda kita selaku manusia yang akan berurusan dengan ramai pelanggan. Menjadi orang yang terbilang dan tersohor dalam tanah air hatta sejagat sekalipun, belum tentu menyenangkan hati semua mata yang memandang. Ini kan pula kita insan marhain yang baru mengukir nama. Menjalankan tugas dan tanggungjawab mengikut apa yang digariskan dalam perintah am perkhidmatan di samping arahan-arahan semasa yang bersifat "tempatan" oleh pihak pentadbiran atau jawatankuasa pentadbiran.

Adakah kita mahu dilihat positif? Sebenarnya kita dilihat mengikut daripada perspektif mana setiap penilaian itu dibuat untuk melihat dan mengukur kebolehan kita. Jika ia daripada perpektif yang positif, maka positiflah yang ditemui. Sehinggakan kesilapan dan kecacatan yang berlaku sekalipun ia akan dianggap sebagai batu loncatan kepada kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Malah kita tentunya pernah terdengar ungkapan , "Orang yang tidak melakukan kesilapan adalah orang yang tdak pernah mencuba.."

Namun jika sebaliknya, maka negatiflah yang akan muncul dicelahan ribuan kebaikan yang sengaja diabaikan. Tiada kata pujian atau sanjungan apabila kejayaan ditempa, tetapi apabila kesilapan berlaku ia dilihat umpama "setitik nila yang merosakkan sebelanga susu..." Kesilapan itu dijaja ke hulu dan ke hilir seolah-olah "hujan setahun hapus dek hujan sehari".

Kita mungkin pernah terbaca atau mendengar ungkapan yang menyatakan... "kita adalah sebagaimana yang kita fikirkan". Jika diteliti secara halus dan mendalam, ternyata ungkapan tersebut mempunyai konotasi yang sangat mendalam. Ia merentas segala hubungan dalam bidang profesion, kekeluargaan, kemasyarakatan malah apa sahaja bidang kehidupan. Justru sebagai guru, kita juga turut terkesan dengan ungkapan tersebut. Jika kita fikir kita mampu berjaya dalam menjayakan profesion kita insya Allah kita akan berjaya lantaran keyakinan kita bahawa kita akan berjaya...

Begitu juga dalam membina hubungan yang positif dalam masyarakat. Jika kita berfikir bahawa membina hubungan yang positif dalam masyarakat itu penting, maka kita akan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan elemen-elemen penampilan diri yang boleh diterima oleh kebanyakan orang, cara berkomunikasi yang betul serta meminimumkan benturan komunikasi dengan manusia lain, cuba untuk menyenangkan hati rakan-rakan dan sebagainya. Dan, oleh sebab lidah itu katanya lebih tajam daripada mata pedang, maka aspek public relation (PR) sangat utama untuk dijaga terutamanya dengan individu yang lebih tinggi ranking perjawatannya berbanding kita. Malangnya, ada yang beranggapan ranking tinggi dan rendah itu bukan sahaja disandarkan kepada utama atau tidaknya kedudukan jawatan seseorang, malah ada juga yang menjadikan lama dan baru berada di sesuatu tempat bertugas sebagai "ranking" kekananan dalam menentukan bentuk komunikasi dengan beliau.

Situasi yang sebegitu tentunya amat menyukarkan individu yang lebih junior dalam menentukan bentuk komunikasi kerana ada piawai tertentu yang bersifat relatif. Namun, jika kita menggunakan pendekatan "ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya..." tentunya akan lebih selamat untuk jangka masa yang lebih panjang. Jadi, ada betulnyalah ungkapan "nakal" yang sering diungkapkan oleh motivator atau sesiapa sahaja yang sering menasihati orang lain... "kita bukan sahaja perlu berniat baik, malah perlu dilihat baik". Jika sebelum ini kita sering diingatkan supaya perlu mempunyai niat yang baik... sesuatu perbuatan itu bergantung kepada niatnya... kini nampaknya kita kena buat satu lagi perkara supaya kita dilihat baik oleh manusia yang menilai diri kita.

Mungkin telah menjadi budaya masyarakat di Malaysia, penilaian bermula pada hari pertama kita berada di sesuatu tempat. Tidak kiralah di pejabat mana, sekolah mana atau lokasi mana seseorang itu berada. Semacam satu prinsip, seseorang yang baru tidak perlu terburu-buru mencipta pembaharuan atau inovasi yang menyebabkan orang lain terpaksa mengikut pembaharuan atau inovasi tersebut. Apatah lagi jika kita hanya individu biasa yang tiada apa-apa jawatan kanan atau pos yang memungkinkan kita ada kapasiti untuk melakukan perubahan dan inovasi tersebut. Sebab itulah kita akan temui pengetua dan penolong kanan yang mengambil masa agak lama bagi menyatakan dasar atau pembaharuan yang perlu dilakukan oleh orang bawahannya. Hal itu dilakukan kerana mahu meminimumkan halangan komunikasi untuk kontak yang lebih harmoni dengan staf bawahannya. Pendekatan tersebut dilihat seumpama "menarik rambut dalam tepung", rambut tidak putus, tepung tidak berserak. Sikap teliti dalam mewujudkan hubungan yang lebih konstruktif dengan orang bawahan menyebabkan seorang pengetua atau penolong kanan memahami terlebih dahulu budaya atau sub budaya di sesebuah sekolah.

Walaupun sebagai pengetua dan penolong kanan, mereka ada "kuasa" mengarah dan mengerah semua orang bawahan mengikut serta melaksanakan setiap pembaharuan, sikap sebegitu tentunya akan menjadikan hubungan sosial antara pihak pentadbir dan yang ditadbir berada dalam situasi yang sangat tidak harmoni. Jadi, nampaknya jika kita sebagai kakitangan biasa tentunya terlebih-lebih perlu memikirkan dan mematut-matutkan bagaimana untuk merealisasikan setiap pembaharuan dan inovasi yang bersarang dalam minda kita itu. Jika kita tidak cakna dengan budaya yang sebegitu, nescaya kita dilihat telah mulai "mengumpulkan musuh-musuh" di sekeliling kita sebelum kita menemui rakan-rakan yang dapat membantu kita sewaktu diperlukan. Apabila kita berada dalam kondisi tersebut, sebenarnya kita terpaksa melalui satu perjalanan yang sukar seumpama berjalan di atas jalan yang penuh duri... Jika kita beranggapan bahawa kita telah punyai persiapan yang rapi untuk melalui jalan tersebut sekalipun, lambat laun kita akan terpijak juga duri-duri tersebut, apatah lagi jika kita tersilap pilih jalan sedangkan kita tidak punyai apa-apa kelengkapan yang secukupnya. Bukan mudah pula untuk merintis jalan keluar daripada kemelut tersebut jika kita telah tersesat jalan...

Begitulah sukarnya untuk melaksanakan sesuatu idea yang hebat jika kita diklasifikasi sebagai junior di sesuatu lokasi baru. Jelasnya, melaksanakan sesuatu idea yang terbukti hebat sekalipun, belum pasti akan mendapat impak yang sama jika dilaksanakan di lokasi yang berlainan. Mungkin langkah "menawan" hati sebahagian besar manusia di sesuatu lokasi baru itu terlebih aula daripada terus-terus melaksanakan pembaharuan atau inovasi tersebut. Mungkin kita perlu membuktikan kejayaan sesuatu pembaharuan atau inovasi dalam ligkungan tugas kita terlebih dahulu sebelum mengajak rakan-rakan lain yang bersedia melaksanakan idea tersebut bersama-sama melaksanakannya. Akhirnya barulah idea tersebut "dijual" kepada khalayak yang lebih ramai.

Jelasnya, perspektif positif dan negatif orang lain terhadap kita bermula pada hari pertama kita berada di sesuatu lokasi baru. Keupayaan meletakkan diri kita secantiknya pada pandangan orang lain dilihat akan mewujudkan perspektif yang lebih baik untuk hari-hari yang seterusnya untuk diri kita. Keupayaan meletakkan diri sebagai orang baru lantas mendekati orang lain yang lebih senior akan menambah-nambahkan lagi perspektif positif orang lain kepada kita. Seterusnya sikap bersedia belajar dan tidak menolak tugas yang diberi sudah pasti akan menambat hati staf yang lebih senior. Kerana, jika kita sesekali tersilap dalam melaksanakan sesuatu tugasan, merekalah yang akan membela kita...

Facebook Comments

0 PANDANGAN:

Post a Comment

TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...

 

ADUHAI SAGA BLM...

17 Februari 2010 - Booking di Maha Mega Sdn.Bhd.,Tg.Malim

17 Mei 2010 - Terima. Alarm tidak berfungsi. Rujuk ke Karang Saujana, Tg.Malim. Tak terima sebab belum servis pertama.

26 Mei 2010 - 1st service & Repair alarm system - 2 jam. Karang Saujana, Tg.Malim. Ganti Eng.Oil, oil filter & Drain nat(?) Total = RM114.20

2 Jun 2010 - Repair water pipe ring - 3 Jam Karang Saujana, Tg.Malim. Total = RM5 (Ring tak masuk dalam warranty)

BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KPM

Perkhidmatan Pelajaran

PENGAJIAN AM 900

LAMAN PRA UNIVERSITI SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM

TRAFIK

free counters

PERSPEKTIF CIKGU MALEQUE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template