The company of a good friend is like an owner of musk; if you don’t buy anything, you will get the smell of it. The company of a bad friend is like the blacksmith’s bellows; if you are not affected by its black dirt, you will be touched by its smoke.

Friday, September 25, 2009

KOLEKSI EMAK MERTUAKU..

Friday, September 25, 2009
Bookmark and Share
Mungkin kerana keletihan atau sebab-sebab yang lain menjadikan ruamah ayah mertuaku ini (dah tukar) masih diselimuti hening pagi. Seluruh isi perutnya masih lena tidur atau ada yang masih sayang untuk bangun meninggalkan toto dan tilam pagi buat memulakan hari yang kelima Syawal ini.
Kedengaran bilik air mula dibuka seawal 6.30 pagi. Bila dah ramai-ramai ni, lewat ke bilik air terpaksa “ambik nombor”. Keadaan itu tentunya tidak menyukakan sesiapa sahaja. Alhamdulillah, sejak kenduri kahwin adik iparku yang bongsu kira-kira tiga tahun yang lalu, bilik air telah ditambah menjadi dua.
Sedikit sebanyak dengan ketiadaan emak mertuaku, pagi kami seperti makanan kekurangan rencahnya. Biasanya kalau anak cucu balik, dialah yang paling segera bangun dan buat itu dan ini di dapur. Anak-anak yang terlewat bangun biasanya akan menyambung kerja-kerja yang beliau sudah mulakan... Kalau tak ada idea nak beli makanan dari kedai, biasanya dia akan masak apa yang ada. Nasi goreng, bihun goreng yang tentunya akan menyebabkan anak-anakku makan tak cukup sepinggan sorang. Tentunya selepas ini menu ”Nasi Goreng Opah” akan membawa kerinduan anak-anakku kepada almarhumah opah mereka.
Cuma, sejak dia sakit kebelakangan ini... Kelihatan agak kurang bermaya. Aku tidak dapat menyukat sekuat mana rasa sakit yang dialami. Tetapi daripada apa yang aku dengar melalui perbualan telefon dengan anak-anak seakan sudah pasrah dengan apa-apa sahaja yang ditentukan Allah S.W.T.
”Jantung emak dah ada masalah... buah pianggang pun sama...” Suaranya seakan seorang yang telah berputus asa. Tiada rasa luahan kesusahan atau pengaduan kepada anak-anak. Mintak segera diurus apa yang patut.
”Tak apalah umur emak pun dah 68 tahun..” Antara luahan yang isteriku pernah dengar ketika berbuka puasa bersama-sama kira-kira seminggu sebelum dia dimasukkan ke hospital.
Cuaca di luar semakin cerah dan bahang kepanasan mulai menjalar ke dalam tubuhku... Anak-anak perempuan kedengarannya sedang menyelongkar gerobok pakaian yang sarat dengan pakaian emak mertuaku... Sepanjang hayatnya masih ada, tak ada yang berkeppentingan hendak menyelongkarnya.
”Ya Allah, punyalah banyak kain baju emak yang masih elok...” Kedengaran suara Mak Lang (panggilan anak-anakku) memecah keheningan.
”Mak Su... nah ini ngko punya...” Suara Mak Ngah pula menyerah sesuatu kepada isteriku.
”Ya Allah, sanggup dia pakai yang lama... yang aku berikan tak pakai pun..” Itulah emak mertuaku, selagi masih boleh dipakai dia akan memakainya.
Tengah aku mencari idea menulis sesuatu pada laptop usang ini..
”Bang, nak tengok duit lama..?” Celah suara adik iparku yang bongsu sambil menghulurkan sesuatu padaku.
”Wah duit lama betul ni....” Aku sangat teruja untuk mengetahui tarikh yang tertera pada siling satu sen itu. Lalu aku segera ke dapur dan mengambil asam jawa untuk membasuh permukaan siling tersebut. Tertera dengan jelas tulisan STARAITS SETTELEMENTS bertarikh 1895!
”Ada lagi ke siling lain dik?” Aku meminta kalau-kalau ada lagi siling yang lain. Dalam kepala aku tidak ada lain... aku akan muatkan dalam blog aku lah.
Tidak lama kemudian adik iparku memberi satu bungkusan plastik kecil. Ada beberapa siling lama. Tetapi aku hanya berminat terhadap empat keping siling kesemuanya. Siling paling lama bernilai lima sen bertarikh1887. Kini siling tersebut berusia 122 tahun!
Selepas itu aku meminta kalau ada lagi barang-barang antik yang lain kepunyaan emak mertuaku untuk ku abadikan melalui lensa Nikon D60 aku. Sepasang subang yang dibeli sewaktu emak mertuaku anak dara. Ketika itu usianya 19 tahun. Jadi usia subang itu kini mencecah 49 tahun.
Sebuah tepak sirih yang dibeli sewaktu kakak iparku yang kedua mendirikan rumah tangga kira-kira pada awal tahun 1980an, masih berkilat dan masih lagi sesuai digunakan dalam majlis-majlis pertunangan atau pernikahan. Kelihatannya tepak sirih itu dijaga dengan baik.
Empat bekas celak yang tentunya berlainan tarikh ia disimpan berdasarkan kepada warna pada bekas tersebut menjadi bahan rakaman kemeraku yang seterusnya.
Sebentuk cincin bersaiz kecil yang entah dari mana asal-usulnya turut menjadi simpanan emak mertuaku. Adik iparku yang bongsu memakaikan pada anakku yang berusia tiga tahun.
”Dani, nah opah bagi..” Sambil menyarungkannya pada jari hantu sebelah kanan tangan anakku itu. Kami tak pasti material cincin itu. Berwarna kekuningan serta ada batu berwarna oren atau jingga.
”Rasanya cincin yang Andak jumpa kat pokok rambutan dulu..” Celah abang iparku setelah menelek seketika cincin tersebut.
Tersengih-sengihlah anak dara cilikku itu dapat sebentuk cincin. Memang dah lama dia nakkan cincin. Cuma aku saja yang menggula-gulakannya dengan janji-janji kosong. Sebab, aku rasa dia masih belum pandai menjaga barang-barang kemas. Dan, ditambah pula dengan harga emas yang hampir mencecah RM 130 segram.
Lewat petang, aku terpaksa membawa anakku yang kecil ke klinik kerana badannya agak panas. Ke Tg.Malim atau ke Bestari Jaya (Batang Berjuntai)?
”Hah.. ke Juntai je, kalau ke Tg.Malim, nanti terus ke rumah pulak... Langsung tak datang-datang” Gurau kakak iparku.
”Ialah.. kat Taman Bernam Baru tu memang ada Klinik...” Aku menambah lagi
”Ialah tu.. terus ke nombor 88 pulak..” Diakhiri dengan deraian ketawa.
Sampai di Bestari Jaya, klinik yang dimaksudkan masih lagi tutup. Aku melilau-lilau mencari klinik lain yang buka... Lalu aku masuk ke Klinik SAI yang pintunya terbuka.
Mengikut diagnosis doktor, anakku sememangnya demam. Suhu badan mencecah 39ÂșC. Ada tiga kemungkinan. Pertama kemungkinan alergi, kedua ruam dan ketiga kudis buta. Tetapi jika doktor memberi ubat terhadap masalah allergi, ubat yang akan diberi akan supress ubatan yang lain. Mungkin menyebabkan semua tak sembuh. Jadi, dia mencadangkan agar rawat terlebih dahulu demam dan kudis buta. Minggu depan dia suruh aku datang semula. Entahlah sama ada itu adalah strategi business atau prosedur klinikal yang sewajarnya dilakukan. Aku lupa nak tanya namanya.. Cuma dia kata dia ada pada hari khamis, sabtu dan ahad kat situ.
Maghrib semakin tua sewaktu aku keluar dari klinik tersebut. Lalu, aku terus ke masjid India yang terletak dalam kawasan pekan Bestari Jaya itu..

Facebook Comments

1 PANDANGAN:

.: Si BungaKopi : . on November 3, 2009 at 12:24 AM said...

wah..bagusnya dapat menantu yg menghargai ibu mentua spt ibu sndiri~

Post a Comment

TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...

 

ADUHAI SAGA BLM...

17 Februari 2010 - Booking di Maha Mega Sdn.Bhd.,Tg.Malim

17 Mei 2010 - Terima. Alarm tidak berfungsi. Rujuk ke Karang Saujana, Tg.Malim. Tak terima sebab belum servis pertama.

26 Mei 2010 - 1st service & Repair alarm system - 2 jam. Karang Saujana, Tg.Malim. Ganti Eng.Oil, oil filter & Drain nat(?) Total = RM114.20

2 Jun 2010 - Repair water pipe ring - 3 Jam Karang Saujana, Tg.Malim. Total = RM5 (Ring tak masuk dalam warranty)

BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KPM

Perkhidmatan Pelajaran

PENGAJIAN AM 900

LAMAN PRA UNIVERSITI SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM

TRAFIK

free counters

PERSPEKTIF CIKGU MALEQUE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template