Kalau tidak silap hitungan aku, ruang ini telah suwong sekitar hampir dua purnama. Bukan mengghaibkan diri daripada alam blogger, malah terlebih aktif di sebelah sana sehingga mengabaikan yang di sini. Bak kata ungkapan teman-reman..."Bila tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua". Sepanjang tempoh penyepian ini aku menggiatkan blog prauniversiti SMK Khir Johari, Tg.Malim berserta dengan pakej facebooknya. Memandangkan blog tersebut mulai dipantau oleh "pemantau" luar dan dalam... maka aku perlu jadikannya persis sebuah blog yang selayaknya dijadikan bench-mark pra-u di sekolah aku bertugas.
Sambil itu, sesekali aku masuk juga ke laman ini untuk menghilangkan rindu pada catatan-catatan lampau yang semakin usang pabila tarikhnya diteliti. Beberapa hari lalu aku tersangat kaget apabila tidak kurang daripada 30 ulasan daripada dua insan yang aku tidak kenali memenuhi 15 entriku. Ertinya setiap orang itu menulis 15 ulasan. Dalam kelima-lima belas entri itu, kedua-dua penulis itu ada secara bersama. Oleh sebab ulasan itu menggunakan bahasa yang aku tidak fahami (bukan Melayu dan Inggeris) maka aku bersusah-payah memadamkan ulasan-ulasan tersebut. Setelah diteliti ternyata setiap ulasan tersebut adalah sama... Mungkin iklan atau promosi barang kali.... Hampir setengah jam aku memadamkan kesemua ulasan tersebut. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar...
Setelah itu aku terasa sangat bahawa blogku ini kian terpinggir dan tersisih.. Justeru, sekembalinya dari aktviti hujung minggu tadi.... aku mulai mengetuk keyboard buat mencatat sesuatu di ruang karyaku yang tak sepertinya ini kembali....
Aku kira aku memilih detik dan tika yang sangat tepat dalam memujuk hati buat mencatat kembali dalam ruang ini sementelahan pula hari ini adalah hari guru. Esok sekolah-sekolah di Malaysia akan meraikan hari keramat tersebut. Tidak terkecuali sekolah ku juga.. Dan, esok aku akan memimpjn bacaan ikrar hari guru di hadapan hampir ribuan anak-anak didik dalam majlis perhimpunan khas hari guru...
Mengingati hari guru, aku ingin mengutus salam Hari Guru kepada guru-guruku dan pensyarah yang pernah mendidik aku di beberapa buah sekolah dan maktab-universiti..
1. SK Tok Khalifah, Parit 13, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor.
2. SAMR Sg.Hj.Dorani, Sg.Besar, Selangor
3. SAMT Sultan Salahaddin Abdul Aziz Shah, batu 38, Sabak Bernam, Selangor.
4. Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
5. Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit, Terengganu
6. Institut Perguruan Sultan Idris, Tg.Malim
7. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg.Malim
Bakti kalian akan kuingati selagi hayat dikandung badan...
1 PANDANGAN:
salam. Selamat Hari Guru. Moga Allah sentiasa memberi keberkatan dan dipermudahkan urusan kita..
Post a Comment
TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...