The company of a good friend is like an owner of musk; if you don’t buy anything, you will get the smell of it. The company of a bad friend is like the blacksmith’s bellows; if you are not affected by its black dirt, you will be touched by its smoke.

Tuesday, June 9, 2009

BI SYARAT WAJIB LULUS SPM

Tuesday, June 9, 2009
Bookmark and Share

Oleh Nazura Ngah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun subjek itu diajar sebagai satu mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini.
Beliau berkata, maklum balas daripada orang ramai akan membolehkan Kementerian Pelajaran membuat penilaian kerana pihaknya melihat isu itu dari sudut peningkatan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
"Setakat ini anak-anak kita yang belajar bahasa Inggeris masih boleh dapat sijil penuh walaupun gagal dalam bahasa Inggeris dan ini menjadi persoalan. Oleh itu, saya mahukan maklum balas daripada masyarakat supaya dapat memastikan pelajar luar bandar tidak menjadi mangsa disebabkan mereka tidak menguasai bahasa Inggeris.
"Walaupun hampir 70 peratus pelajar lulus bahasa Inggeris (di peringkat SPM setiap tahun), keputusan itu tidak memberi sebarang perbezaan kerana pelajar gagal juga mendapat sijil (penuh)," katanya selepas merasmikan penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, semalam.
Beliau turut melancarkan buku `Kirkby: The Life and The Loves' karya Dr Shaari Isa dan merasmikan pameran Maktab Kirkby anjuran Muzium Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Hadir sama presiden persatuan itu, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.
Muhyiddin berkata, pandangan umum diperlukan mengenai perkara itu kerana sebelum ini beliau beranggapan semua pelajar perlu lulus subjek bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh SPM.
"Saya ingatkan kita perlu lulus kerana kita belajar bahasa Inggeris, sebaliknya (baru saya dapat tahu) tidak perlu lulus.
"Saya cuma meletakkan persoalan adakah disebabkan itu pelajar tidak belajar bahasa Inggeris dengan serius atau adakah ia menyebabkan standard bahasa Inggeris menurun. Ia perlu dibincangkan semua pihak," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga mendapati bahasa Inggeris sekarang diajar tanpa pengajaran tatabahasa, sebaliknya pelajar hanya mempelajari 'Communicative English' bagi membolehkan mereka berhubung dengan orang lain.
Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak membuat sebarang keputusan mengenai isu itu kerana mahu memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi pandangan sebelum penilaian dan langkang seterusnya diambil.
"Kedua-dua isu ini perlu diteliti bagi membolehkan pelajar lebih serius menguasai bahasa Inggeris," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menyifatkan Maktab Kirkby sebagai 'miniature Malaya' yang menyemai semangat 1Malaya dan Malaya Boleh, apabila guru lepasan institusi itu pulang ke tanah air untuk mengajar di seluruh negara.
Katanya, guru lepasan Maktab Kirkby menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan profesion perguruan di negara ini dan ia dibuktikan dengan pemilihan empat bekas pelajar Maktab Kirkby sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dari 1988 hingga 1998
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Pendekatan bertanya dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dilihat sebagai satu langkah yang sangat proaktif. Walaupun ada yang berpendapat sebaliknya kerana ia menampakkan sikap yang tidak pasti atau tidak berani TPM merangkap Menteri Pelajaran kita ini.
Saya melihat ia satu pendekatan yang sangat pragmatik dan dilihat telah "belajar" daripada bagaimana kekalutan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang sehingga kini masih belum ada redanya di peringkat akar umbi atau masyarakat marhaen.
Sebagai seorang pendidik, sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan saya fikir, saya berhak untuk menyatakan pandangan saya sementelahan pula memang itulah nawaitu menteri pelajaran kita sewaktu mengagaskan idea tersebut. Lain pula keadaanya pandangan saya terhadap PPSMI, kerana ia telah dilaksanakan. Justeru, sebagai pendidik dalam konteks dasar PPSMI saya tidak boleh menyatakan secara bebas pandangan peribadi kerana golongan pendidik adalah agen pelaksana dasar tersebut.
Berbalik kepada idea mewajibkan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus selepas bahasa Melayu, saya fikir perlu diteliti secara rasional supaya ia tidak akan mengenepikan hak segolongan rakyat yang tidak mempunyai kemahiran secukupnya bagi menguasai mata pelajaran tersebut.
Secara peribadi, saya tidak menolak peri pentingnya bahasa Inggeris dalam konteks persaingan sejagat pada masa kini. Jika ia mahu dilaksanakan juga, perlu ambil tempoh tertentu bagi memastikan segala keperluan yang selayaknya telah dilengkapkan di setiap sekolah. Kemudahan prasarana serta sumber tenaga guru yang terbaik perlu disediakan tidak kira sama ada di luar bandar atau ceruk mana sekalipun sekolah itu berada.
Hal ini kerana, apabila sesuatu dasar atau gagasan idea itu dicetuskan ia lazimnya bermula di sekolah-sekolah bandar. Sekolah Bestari, PPSMI, Sekolah Kluster dan sebagainya. Ia tidak dicetuskan sewaktu seseorang menteri itu melawat sekolah-sekolah di ceruk kampung. Walaupun sekali pandang ia menguntungkan pelajar-pelajar luar bandar, tetapi akhirnya yang mendapat limpahan 'rahmatnya' adalah pelajar bandar. Sebagai contoh, pembinaan makmal komputer . Semenjak dilaksanakan ia tidak mendatangkan masalah bagi pelajar-pelajar di bandar. Malah, sebenarnya sekolah-sekolah tersebut telah memiliki makmal kompoter mereka sendiri hasil insiatif pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sebaliknya di luar bandar, masih ada lagi sehingga kini sekolah yang masih belum mendapat makmal, ataupun sudah ada makmal tetapi komputernya pula entah bila akan tiba!
Justeru, dalam pelaksanaan idea terbaru ini, pada hemat saya pelajar luar bandar juga yang akan menerima kesannya. Berapa peratuskan guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris di luar bandar sememangnya opsyen bahasa Inggeris? Berapa ramai pula yang berkhidmat di luar bandar melebihi 5 tahun? Kenapa 5 tahun? Lazimnya seseorang itu dikira telah menguasai aspek Pedagogical Content Knowledge jika telah mengajar 3 hingga 5 tahun. Berapa ramai pula cikgu-cikgu yang memeriksa kertas peperiksaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di luar bandar. Hal ini penting kerana, untuk lulus dalam basa Inggeris di peringkat SPM memerlukan guru yang tahu teknik menjawab dengan betul dalam peperiksaan.
Pandangan yang saya akan utarakan ini agak kontroversi. Pada hari ini dalam pada dasar PPSMI sedang berjalan di seluruh negara, secara umumnya ada tiga golongan guru pelaksana dasar PPSMI. Pertama guru yang sememangnya mengajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Kedua, bercampur-campur. Ketiga, langsung tidak menggunakan bahasa Inggeris. Kelompok pertama lazimnya berada di sekolah-sekolah bandar. Guru-guru sememangnya mahir mengajar dalam bahasa Inggeris. Mereka mungkin terdiri daripada guru-guru yang agak senior dalam dunia pendidikan. Walau bagaimanapun bagi golongan kedua, bukan sahaja mereka tidak mahir mengajar menggunakan bahasa Inggeris malah bahasa Inggeris yang mereka gunakan juga tidak betul daripada aspek tatabahasanya. Walaupun itu satu usaha yang perlu digalakkan berbanding dengan golongan ketiga, tetapi ia akan menimbilkan kesan yang tidak baik kepada para pelajar dalam konteks meningkat penguasaan bahasa Inggeris mereka. Mereka akan terikut-ikut dan terpengaruh dengan kualiti bahasa Inggeris guru-guru mereka yang sememangnya tidak berkualiti.
Pada hemat saya, sehingga kini belum tiba masanya untuk mewajibkan lulus bahasa Inggeris kepada para calon SPM. Biarlah lulus, kepujian dan cemerlang dalam bahasa Inggeris dianggap sebagai value added kepada para pelajar. Jika gagal sekalipun, mereka masih boleh meneruskan cita-cita mereka ke peringkat yang lebih tinggi.Sehingga kini cukuplah dahulu hukuman kepada para pelajar yang tidak dapat kepujian dalam bahasa Melayu. Mereka tidak boleh masuk ke tingkatan enam, bidang pekerjaan dan banyak lagi. Sekali lagi kesan langsungnya akan diterima oleh pelajar pedalaman.
Jelasnya, dalam melaksanakan sesuatu idea terutamanya melibatkan masa hadapan para pelajar perlu dikaji secara mendalam. Jangan terlalu gopoh sehingga menyebabkan lebih ramai pelajar Melayu khususnya yang tercicir lantaran tidak mampu mendapat keputusan lulus dalam bahasa Inggeris.
Komentar ini telah disiarkan dalam Barita Harian 10 Jun 2009 dalam ruang Surat & Email. Walau bagaimanapun editor ruangan tersebut menyatakan saya berasal dari Johor. Sedangkan dalam email saya itu dengan nyata dan terang saya catatkan dari Tanjong Malim, Perak.

Facebook Comments

0 PANDANGAN:

Post a Comment

TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...

 

ADUHAI SAGA BLM...

17 Februari 2010 - Booking di Maha Mega Sdn.Bhd.,Tg.Malim

17 Mei 2010 - Terima. Alarm tidak berfungsi. Rujuk ke Karang Saujana, Tg.Malim. Tak terima sebab belum servis pertama.

26 Mei 2010 - 1st service & Repair alarm system - 2 jam. Karang Saujana, Tg.Malim. Ganti Eng.Oil, oil filter & Drain nat(?) Total = RM114.20

2 Jun 2010 - Repair water pipe ring - 3 Jam Karang Saujana, Tg.Malim. Total = RM5 (Ring tak masuk dalam warranty)

BAHAGIAN TAJAAN PENDIDIKAN, KPM

Perkhidmatan Pelajaran

PENGAJIAN AM 900

LAMAN PRA UNIVERSITI SMK KHIR JOHARI, TG.MALIM

TRAFIK

free counters

PERSPEKTIF CIKGU MALEQUE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template