Salam.. Menjelang 16 Mei, hari keramat bagi insan bernama cikgu. Hari Guru yang mulai diperkenalkan sejak 1972, berkebetulan itulah tahun aku memasuki darjah 1 tentunya menjadi tarikh yang sangat penting kepadaku yang telah melewati dua dekad bergelar cikgu. Selama ini aku tidak melihat sebegitu istimewa tanggal 16 Mei. Ada aktiviti, aku ikut. Kena baca ikrar, aku turut. Begitulah lazimnya.
Namun, setelah dunia facebook menjadi "kegilaan" menjadikan aku rasa terharu apabila mantan anak-anak muridku muncul di ruang FB sambil mengucapkan "Selamat Hari Guru" buatku. Justeru, dalam detik waktu sebegini, tentunya bertambah manis kalau diingat kembali zaman persekolahanku di sekolah rendah yang telah kulalui.
Teringat wajah-wajah beberapa orang guru di SK Tok Khalifah, parit 13, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor. Begitu panjang sekali alamatnya. Itupun tak termasuk poskod yang tak ingat. Itu menandakan begitu ceruknya sekolahku itu. Cikgu Abdul Aziz dan cikgu Karim (Darjah 1), Cikgu Zubaidah, Cikgu Tahiron Dimyati (Darjah 6), Cikgu Mahfuz, Cikgu Shaari dan Uztaz Abdul Wahid. Itulah yang masih terlekat dalam memori yang semakin berkarat ni. Sebenarnya ramai lagi yang mengajar aku, tapi mintak ampun aku tak dapat mengingatinya satu persatu. Mungkin disebabkan igatanku yang kian susut atau mungkin kehadiran mereka tidak begitu terkesan dalam hatiku. Entahlah...
Dalam senarai pendek itu, ada yang aku ingati kerana kebaikannya. Umpamanya Cikgu Aziz dan Karim selalu bagi aku duit. Entahlah mungkin rasa simpati terhadapku yang jarang ada duit saku ke sekolah. Mungkin kerana aku selalu dapat nombor satu dalam kelas. Atau, mungkin kedua-duanya.
Cikgu Shaari, cikgu yang paling aku takuti. Pernah aku kena pukul kat punggung sewaktu masuk kelas. Aku terpinga-pinga apabila beliau meminta aku menghadap papan hijau serta menonggengkan punggungku. Bila dah kena baru beliau bagi tau yang aku tidak berdiri tegak semasa menyanyikan lagu negaraku. Rupa-rupanya dia mengintai kami dari celah-celah cermin nako sewaktu perhimpunan. Bukan aku sorang yang kena, ada lagi dua tiga orang lagi kawanku yang menerima nasib yang sama.
Cikgu Zubaidah, sangat bersifat keibuan. Sungguh-sungguh bertanya kepadaku sewaktu di penghujung darjah 6 berkaitan dengan persekolahanku di tingkatan 1. Beliau tidak begitu bersetuju aku memilih sekolah agama. Alasannya, kat sekolah agama tak ada mata pelajaran pendidikan seni. Beliau tahu aku memang meminati mata pelajaran tersebut. Tapi akhirnya beliau menerima keputusan yang telah dibuat oleh bapak dan emakku.
Cikgu Tahiron, aku ingati kerana beliau sangat marah kerana aku memilih aliran agama di tingkatan 1. Aku bersama seorang lagi terpaksa berdiri di atas kerusi kerana sebab yang sama. Katanya, sekolah agama akhirnya akan jadi siak kubur. Masa tu, aku tak mampu nak jawab apa-apa. Masa depanku pun aku tak nampak lagi. Cuma apa yang penting aku perlu mematuhi keputusan bapak dan emakku.
Kini aku telah dua dekad bergelar cikgu. Kerjaya yang sama dengan cikgu-cikguku itu. Secara sedar aku berusaha untuk menjadikan diriku seperti cikgu-cikgu yang aku suka dan sayangi. Tetapi sesekali mungkin aku tersilap dalam membuat perhitungan sehingga mengambil tindakan seperti cikgu yag aku takuti itu. Namun di sebalik itu semua, aku telah lama memahami serta mempelajari bahawa apa juga tindakan cikgu-cikguku itu niatnya ikhlas agar aku menjadi manusia yang berguna pada suatu hari nanti manakal marahnya kerana dia tidak mahu aku jadi insan yang tidak beguna. Mungkin juga mereka menyedari kebolehanku jika aku berada di aliran yang sama dengan rakan-rakanku yang lain.
Untuk kesekian kalinya, terima kasih cikgu... jasamu pasti akan kuingati selamanya. Bila ada kesempatan yang sesuai, pasti aku akan terus mencarimu. Walaupun akhirnya aku hanya menemuimu pada tinta nama di atas pusaramu wahai cikguku..
3 PANDANGAN:
Selamat hari Guru buat En. Abdul Malek b. Selamat
:)
apapun..tetap jadi insan berguna kan.. selamat hari guru...
Syukurlah aku telah dipilih untuk menjadi insan yang berguna. Namun, perjuangan yang telah dilalui tidak semudah yang dilihat.Malah beribu onak duri yang terlekat terpaksa atasi, beribu kesulitan perlu ditempuhi, beribu keperitan mesti dilalui sebelum boleh sampai ke puncak cita-cita. Terima kasih emak dan bapak, saudara-mara, rakan-rakan dan cikgu-cikgu yang mendorong ke arah kejayaan ini...
Post a Comment
TERIMA KASIH ATAS KOMEN ANDA...